Nordin menunjukkan keadaan botnya yang musnah akibat dipukul ombak dan ribut. |
Demikian nasib pemilik bot, Nordin Ali, 58 apabila bot yang digunakan untuk menangkap ikan di laut dalam lebih 10 tahun lalu karam dalam kejadian ribut minggu lalu.
Nordin dari Kampung Batu Burok di sini, berkata, dia hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas dimaklumkan seorang rakan bahawa bot miliknya yang dilabuhkan di Pelabuhan Chendering itu telah dihanyutkan ombak kuat kira-kira jam 5.30 pagi itu.
“Apabila dimaklumkan bot saya dipukul ribut, (saya) terus ke pelabuhan tersebut. Saya bersama rakan-rakan cuba segala usaha untuk menyelamatkan bot itu tetapi keadaan angin yang kuat dan ombak bergelora menyebabkan usaha itu menjadi sia-sia.
“Malah, bot yang menjadi sumber pendapatan saya dan 30 ‘awak-awak’ ini karam di depan mata kami dalam sekelip mata,” katanya ketika ditemui di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) di Chendering di Kuala Terengganu, kelmarin.
Bapa 10 anak ini berkata, kali terakhir dia dan 30 pekerjanya itu menggunakan bot tersebut adalah pada November lalu berikutan musim tengkujuh mula melanda negeri ini dan mereka mengambil keputusan untuk berehat dari keluar menangkap ikan.
“Kini semuanya sudah tiada, jika sebelum ini, saya pernah melihat bot rakan karam kerana pukulan ombak, kali ini ia menimpa saya pula. Namun, saya tetap bersyukur kerana semasa kejadian saya dan 30 awak-awak terbabit tidak berada di dalam bot,” katanya.
Nordin berkata, adalah sukar untuk membina semula sebuah bot baru dalam masa terdekat dan dia amat harap agar agensi terbabit dapat membantunya melalui pinjaman atau sebagainya agar mereka dapat turun ke laut semula selepas tengkujuh berakhir.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mohd Saffe Mohd ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu, namun katanya, pihaknya belum menerima laporan terperinci mengenainya.
“Sehingga kini, laporan terperinci berkaitan kejadian tersebut masih belum diperoleh dan berdasarkan kejadian berlaku pada tahun lepas, mangsa bot karam akan dibantu melalui ‘Tabung Bencana’ bagi meringankan beban nelayan,” katanya.
Difahamkan, dalam kejadian itu, dua bot karam termasuk bot milik Nordin.
No comments:
Post a Comment