Sunday, January 6, 2013

Positif Dahah - 7 Ditahan Di 4 Kampung Di Marang

Sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah di sini, memberkas tujuh lelaki dalam operasi dijalankan di empat kampung sekitar daerah ini bermula jam 6 hingga 9 pagi, di Marang semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun di Kampung Paya, Kampung Kijing dan Jalan Padang Bola serta Kampung Rusila.

“Dalam operasi itu, tujuh suspek didapati positif dadah manakala tiada rampasan dibuat dalam operasi selama tiga jam itu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan Program Komuniti Kepolisan di Pasar Besar Bandar Marang, semalam.

Sementara itu, mengenai Program Komuniti Kepolisan itu, warga anggota polis menjayakan beberapa aktiviti seperti minum pagi dan beramah mesra bersama masyarakat setempat dengan disertai Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Ahmad Mazlan berkata, sokongan masyarakat terhadap aktiviti dijalankan polis sempena program itu mampu menurunkan kadar jenayah di daerah berkenaan kerana keamanan yang wujud bukan sahaja bergantung kepada pasukan polis.

Menurutnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan membanterasnya selain perlu bersikap lebih proaktif dalam menjayakan konsep Komuniti Kepolisan dengan bekerjasama bersama polis bagi meningkatkan keberkesanan mencegah jenayah.

“Program ini bukan sahaja memberikan kesedaran kepada masyarakat memerangi jenayah, tetapi tindakan polis bertemu masyarakat secara bersemuka memberi peluang kepada mereka menyatakan pandangan dan berkongsi masalah dihadapi,” katanya.

No comments:

Post a Comment