Wednesday, January 2, 2013

Cuaca Mendung, Hujan Renyai-Renyai Pada Minggu Pertama Persekolahan

Zakiah Abdullah Tahir menunjukkan cara melukis dengan betul kepada seorang murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua yang merupakan pengalaman pertamanya mengajar di kawasan luar bandar.
(Kemaskini) Rakyat Malaysia sudah boleh menjangkakan cuaca mendung dan hujan renyai-renyai pada minggu pertama sesi persekolahan tahun ini manakala Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan lebat akan berlaku di beberapa daerah di Terengganu dan Pahang.

Jabatan Meteorologi yang mengeluarkan nasihat hujan dari peringkat kuning ke amaran hujan peringkat jingga pada Isnin berkata, hujan lebat dan sekejap-sekejap akan berlaku di Dunggun dan Kemaman, Terengganu manakala Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

"Keadaan ini akan menyebabkan banjir di kawasan rendah," katanya dalam laman web jabatan itu. Kawasan yang turut akan terjejas akibat hujan lebat (peringkat kuning) adalah Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Baru, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang); Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu); Perlis (Padang Besar, Kangar and Arau); Kedah (Baling, Sik, Kubang Pasu dan Padang Terap); dan Johor (Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).

Beberapa pelajar Sekolah Menengah Agama Mahmudiah diarahkan pulang selepas sekolah itu mula dinaiki banjir, Sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan berikutan kawasan sekolah dilanda banjir akibat hujan sejak semalam.

Sehingga kini di Terengganu, sebanyak 31 sekolah terpaksa ditutup akibat banjir iaitu 13 di Hulu Terengganu, Besut (12), dan tiga masing-masing di Setiu dan Kemaman.

Sebahagian daripada sekolah itu tidak dapat memulakan sesi persekolahan kerana dijadikan pusat pemindahan banjir.

"Malaysia mengalami monsun timur laut sejak Oktober dan ia dijangka berterusan sehingga awal Mac," kata jurucakap Jabatan Meteorologi berkenaan.

Ribut petir dijangka berlaku sepanjang minggu di Selangor dan Kuala Lumpur manakala hujan renyai-renyai turut berlaku di negeri lain.

Sementara itu, hari pertama sesi persekolahan 2013 bagi Sekolah Menengah Agama Mahmudiah di Hulu Terengganu terbantut apabila sekolah itu dinaiki air menyebabkan kira-kira 900 pelajar, guru dan warga kerjanya terpaksa pulang ke rumah masing-masing.

Air banjir dikatakan mula memasuki kelas, dewan dan asrama sekolah tersebut pada pukul 8 pagi dan setakat petang tadi seluruh kawasan sekolah itu ditenggelami air sedalam dua meter.

Pengetuanya Mohd Yakin Mahmood memberitahu pemberita, hari ini dijadualkan untuk sesi suai kenal guru dan murid, namun disebabkan air naik begitu pantas sesi ditangguhkan serta kesemua diarah meninggalkan kawasan sekolah.

Pada awal pagi banjir hanya dikesan berhampiran dewan sekolah dan tidak menjejaskan kawasan lain, namun kira-kira pukul 8 pagi banjir mula merebak, katanya menambah arahan meninggalkan sekolah tersebut dibuat selepas mendapat kebenaran Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT).

Setakat ini belum dapat dipastikan bila sekolah akan dibuka, katanya. Terengganu, Kelantan dan Kedah merupakan tiga negeri yang memulakan sesi persekolahan 2013 hari ini, manakala negeri lain akan bermula hari ini.

Seorang pelajar Siti Nurhidayah Sharudin berkata walaupun beliau agak terkejut dengan pengumuman pihak sekolah berkenaan, perkara tersebut agak melucukan.

Selepas cuti panjang, saya dan kawan-kawan sangat bersemangat untuk pergi ke sekolah semula. Namun tidak sampai sejam selepas itu kami diarahkan balik sebab banjir pula," katanya.

No comments:

Post a Comment