Tuesday, January 22, 2013

Elaun Sara Hidup Pelengkap Rezekji Nelayan

Gambar Fail...penyampaian ESHN di Setiu pada baru-baru ini.
Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) bernilai RM200 yang diterima seorang nelayan Ahmad Seman, 52, setiap bulan adalah 'pelengkap rezeki' sejak menghidap sakit saraf, lapan bulan lalu.

Ahmad yang tidak lagi mampu turun ke laut menghidap sakit saraf di bahagian pinggang akibat tergelincir di rumahnya dan sejak itu beliau terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

Beliau yang berasal dari Chendering di sini, kini terpaksa duduk di rumah dan membantu isterinya, Rokiah Mat Rani, 42, untuk menyara 10 anaknya dengan menjual kuih di warung dan pasar berdekatan dengan pendapatan RM20 sehari.

"Saya terharu sangat sebab dengan bantuan elaun RM200 ini lah, membolehkan kami membeli barangan keperluan secara ala kadar," katanya semalam.

Ahmad merupakan antara 450 nelayan di Kuala Terengganu yang menerima ESHN pada bulan ini yang disampaikan Pegawai Pembangunan Parlimen, Datuk Wan Ahmad Faris Wan Salleh.

Seorang lagi nelayan, Nordin Ali, 59, menyambut baik pemberian ESHN itu kerana ia dapat meringankan beban kewangan golongan nelayan terutama mereka yang sudah berusia.

"Nelayan macam Pok ni, pendapatan memang tak tentu, kadang-kadang RM20 sahaja sehari, jadi bila ada bantuan macam ni kita memang rasa lega sangat sebab dapat beli keperluan dapur," katanya yang juga mempunyai 10 anak.

Nordin yang mula mengikut bapanya ke laut sejak usia 12 tahun berkata nelayan pada zaman ini sepatutnya bersyukur kerana kerajaan kini begitu prihatin dengan nasib mereka.

No comments:

Post a Comment