Sunday, January 27, 2013

EPIC Labur RM3.2j Lengkapi HSSB di KSB, Kemama

Ramli dan Hamidun bertukar dokumen pada majlis menandatangani perjanjian,  Rabu lalu.

Syarikat Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (Epic) melabur RM3.2 juta bagi menyediakan perkhidmatan Kemudahan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSSB) di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Teluk Kalong, Kemaman, yang dijangka beroperasi Februari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata perkhidmatan secara bersepadu dan pertama seumpamanya di negara ini dibangunkan dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) bakal memberi kemudahan kepada 250 syarikat yang berpangkalan di kawasan perindustrian itu.

“Tahniah kepada Epic dengan TM yang telah menjalinkan perkongsian pintar bagi menyediakan Kemudahan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi di kawasan pelabuhan Kemaman itu.

“Ini merupakan pelabuhan pertama di negara kita yang dilengkapi kemudahan UniFi TM ini sebagai usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan yang berada dalam KSB di mana banyak syarikat minyak beroperasi selain pembekal yang berkaitan dengannya,” katanya pada  sidang media  selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (Epic) dengan Telekom Malaysia (TM ) Berhad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Epic, Ramli Shahul Hameed dan Pengurus Besar TM Terengganu, Hamidun Ismail.

Menteri Besar berharap TM dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kesemua syarikat yang terlibat dalam usaha memenuhi keperluan komunikasi yang semakin maju dan bertahap tinggi khususnya melibatkan syarikat luar negara.

“Semua pengguna perkhidmatan itu dikenakan bayaran (kepada TM) dan segala keuntungan adalah secara perkongsian melibatkan tiga pihak, iaitu kerajaan negeri dan Epic sebagai pelabur dan juga TM, selaku pembekal perkhidmatan itu.

“Adanya UniFi ini akan membolehkan pelbagai syarikat yang terlibat dengan perniagaan antarabangsa di kawasan itu beroperasi dengan lancar, selain meningkatkan operasi dan produktiviti mereka khususnya dalam menghantar maklumat, barangan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, bukan sahaja melancarkan operasi antara syarikat di KSB dengan luar negara, kemudahan itu juga memberi imej yang baik sejajar dengan tahap kemajuan dan penggunaan kemudahan komunikasi berteknologi tinggi yang dimiliki syarikat berkaitan di luar negara

Teganukita

No comments:

Post a Comment