Sunday, January 27, 2013

FAM Arah Pengadil Ikut Prosedur SPRM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin mengeluarkan arahan agar pengadil mematuhi prosedur yang ditetapkan badan induk bola sepak negara itu apabila disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas tamat perlawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata pengadil berkenaan perlu mengambil butiran nama dan nombor telefon pegawai SPRM terbabit, dengan disertai seorang saksi bagi mengelak individu menyamar pegawai pihak berkuasa itu.

“Saya harap dengan prosedur baharu ini, perkara memalukan membabitkan pengadil disoal siasat individu tidak dikenali di Stadium Muhammad IV, Kota wBharu ketika perlawanan Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT) pada 15 Januari lalu tidak berulang,” katanya.

Dalam kejadian pada malam 15 Januari, pegawai SPRM terbabit memasuki bilik persalinan pengadil di stadium berkenaan selepas 10 minit perlawanan tamat dan berada dalam bilik itu kira-kira 20 minit dipercayai bagi mendapatkan keterangan daripada pengadil dari Terengganu itu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah sebenar pegawai menjalankan siasatan itu. Laporan media kelmarin, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad dilaporkan berkata, seorang pegawai tinggi SPRM yang dihubungi mengesahkan Ibu Pejabat SPRM tidak menghantar pegawai ketika perlawanan di antara Kelantan dengan JDT pada hari berkenaan.

Sementara itu, SPRM mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu di ibu pejabatnya di Putrajaya semalam, namun belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment