Sunday, January 27, 2013
Sama-Sama Hayati, Hidupkan Sunnah Rasulullah - Sultan Terengganu
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Khamis lalu menyeru seluruh umat Islam agar sama-sama menghayati serta menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam segala aspek kehidupan.
Baginda bertitah, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, tidak kira sama ada dalam kerjaya, kehidupan dan rumah tangga, umat Islam perlu mengamalkan sunnah Rasulullah bagi menjamin kemakmuran dan keamanan.
Sehubungan itu, baginda mengajak umat Islam supaya menyemai keazaman yang jitu sebagai kesinambungan perjuangan Rasulullah hingga ke akhir hayat
"Sesungguhnya baginda Rasulullah telah pergi meninggalkan kita tanpa mewariskan harta pusaka dan kekayaan, tetapi meninggalkan ilmu untuk dipelajari, difahami dan dihayati pengajarannya dalam membina kehidupan. "Oleh itu, beta menyeru muslimin dan muslimat, marilah kita menghayati dan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang agung.
Beta berharap umat Islam mengikuti sunnah baginda dalam setiap lapangan sama ada kerjaya, rumah tangga dan kehidupan masyarakat agar aman dan makmur," titah baginda. Sultan Terengganu bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu 1434H/2013M di Stadium Negeri di Kuala Terengganu pada Khamis.
Sebanyak 278 pasukan daripada lima kategori dengan jumlah penyertaan seramai 9,448 orang menyertai perarakan sempena sambutan kali ini.
Baginda bertitah, ketokohan Nabi Muhammad S.A.W sebagai manusia teragung yang pernah dilahirkan di muka bumi memang tidak dapat disangkal lagi.
“Orientalis barat sendiri mengakui hakikat ini iaitu Rasulullah merupakan satu-satunya pembawa risalah agama yang secara jelas sejarahnya diceritakan sejak Baginda dilahirkan dan wafat,” titahnya.
Sultan Mizan seterusnya bertitah, sebagai individu, seseorang itu perlu menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah manakala sebagai pemimpin pula harus meletakkan azam untuk menegakkan sunnah dalam kepimpinannya.
Sebagai muslim juga, baginda bertitah, mereka perlu sentiasa muhasabah tentang sejauh mana kecintaan yang diungkapkan itu benar-benar tersemat di dalam lubuk hati masing-masing.
"Baginda Rasulullah mempunyai pandangan jauh, akal fikiran tajam, semangat juang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran serta dugaan yang harus dicontohi seluruh umat Islam," titah baginda.
Keberangkatan baginda disambut, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan `Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran, persembahan nasyid, bacaan rawi, syair dan kemudiannya ucapan Menteri Besar.
Majlis kemudiannya disusuli dengan persembahan selawat dan penyampaian anugerah kepada pemenang pelbagai kategori pertandingan dan pemenang perarakan.
Sebanyak 278 pasukan daripada lima kategori dengan jumlah penyertaan seramai 9,448 orang menyertai perarakan sempena sambutan kali ini.
No comments:
Post a Comment