Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah mula beroperasi hari ini setelah siap sepenuhnya dengan kos RM14.93 juta beserta peralatan bernilai RM5 juta.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Anwa Sulaiman berkata, bangunan ini mula dinaiktaraf pada Julai 2009 menempatkan empat zon utama iaitu zon kritikal (merah) enam bilik yang memuatkan enam katil pesakit kritikal beserta kelengkapan termoden bernilai RM1 juta setiap bilik.
“Zon untuk pesakit kritikal ini dilengkapi kemudahan moden seperti mesin ultra sound bernilai RM200,000, katil berharga RM24,000 sebuah serta beberapa peralatan lain yang diimport dari Australia, Jerman dan Jepun.
“Selain itu zon separa kritikal menempatkan 10 katil, zon tidak kritikal iaitu wad kecemasan (8 katil) dan wad pemerhatian (8 katil),” katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi di JKT HSNZ semalam.
Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar dan Ketua Pakar Kecemasan HSNZ Dr Mohd Lotfi Hamzah.
Katanya, terdapat juga ruang untuk pesakit asma manakala di tingkat satu dan dua terdapat pusat panggilan kecemasan , ruang latihan, bilik seminar dan lain-lain kemudahan.
“Di sini juga ditempatkan makmal kemahiran yang pertama di Pantai Timur bernilai RM350,000 yang boleh digunakan untuk melatih anggota dari segi teknikal terutama dari segi pengendalian kes-kes kecemasan,” katanya.
Menurut Dr Anwa, jabatan kecemasan menerima kira-kira 200 pesakit setiap hari dan daripada jumlah itu 20 orang merupakan pesakit kritikal.
“ Dengan adanya kemudahan baru di sini kita dapat memendekkan masa menunggu pesakit kepada lima minit selepas mendaftar masuk atau lebih pendek daripada itu,” katanya.
Katanya, setakat ini Dr Pakar di HSNZ adalah mencukupi dan tidak menghadapi masalah untuk menerima lebih ramai bilangan pesakit pada satu-satu masa
Teganukita
No comments:
Post a Comment