Tuesday, January 15, 2013

Menyorok Dalam Semak Untuk Tangkap Pencuri Pisang

Dua lelaki ini dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah menyimpan dua guni pisang yang dicuri dari sebuah kebun milik seorang buruh di Kampung Baru Serada.
Usaha seorang buruh yang sanggup menyorok di dalam semak selama lima minit semata-mata ingin menangkap pencuri yang melarikan dua guni pisang dari kebunnya, akhirnya berbaloi apabila dia berjaya menahan dua lelaki, pada 14 Disember lalu.

Bukan itu sahaja, kedua-dua lelaki berkenaan, Mohd Rizal Mamat, 31, dan Mazzuki Ismail, 31, turut menerima pembalasan apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu semalam.
Hukuman itu dijatuhkan selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah menyimpan barang curi iaitu dua guni buah pisang milik Abd Rahman Razak, 47.

Mereka mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu pada 14 Disember lalu kira-kira jam 5.30 petang di jalan Kampung Baru Serada.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa telah pergi ke kebun pisang miliknya di Kampung Baru Serada, di sini, bagi menebang pisang untuk dijual.

Bagaimanapun, dia mendapati terdapat beberapa batang pokok pisang yang telah hilang buahnya sebelum memberitahu kepada adiknya, Abd Rashid Razak yang secara kebetulan tiba di kebun itu.

Nekad mencari si pencuri, kedua-dua beradik itu membuat rondaan di sekitar kawasan kebun sebelum terjumpa dengan dua guni pisang yang diletakkan di tepi jalan.

Yakin dua guni pisang itu miliknya, dua beradik berkenaan menunggu si pencuri dengan menyembunyikan diri di dalam semak berhampiran dan selepas lima minit, kedua-dua tertuduh datang menunggang motosikal mengambil dua guni pisang itu.

Tanpa membuang masa, mangsa menghubungi Balai Polis Chabang Tiga, di sini, untuk menangkap pencuri berkenaan.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment