Thursday, January 24, 2013

KBS Jalin Kerjasama Dengan Swasta Bangunkan Sukan Skuasy


Kementerian Belia dan Sukan Rabu menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Sportspin Event & Athlete Management milik jaguh skuasy negara Mohd Azlan Iskandar bagi membangunkan sukan itu.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata MoU itu bagi mencari bakat baharu menerusi Azlan Iskandar Squash Academy (AISA) dan Sirkit Skuasy Jelajah Malaysia (SSJM).

"Akhirnya kita tidak akan ketandusan (bakat) sebab skuasy merupakan sukan yang kita sudah berada di atas. Datuk Nicol David merupakan nama yang tidak asing lagi tapi ramai yang bertanya siapa selepas beliau?

"Peranan yang dimainkan oleh persatuan skuasy sedia ada sudahpun baik tapi saya percaya usaha yang dibuat Mohd Azlan akan melengkapi apa yang dibuat oleh badan-badan lain dalam bidang ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut, di  Putrajaya semalam.

Setakat ini AISA yang diasaskan Mohd Azlan pada Januari 2011 mempunyai lebih 500 pelatih yang menerima bimbingan daripada jurulatih bertauliah termasuk bekas pemain skuasy kebangsaan.

Terdapat lima AISA di seluruh negara iaitu di Kemaman, Terengganu; Kuching, Miri dan Bau di Sarawak serta Seremban 2, Negeri Sembilan; selain lima lagi dirancang di Johor, Kelantan, Pahang, Melaka dan Kuala Terengganu, Terengganu.

SSJM pula yang akan diadakan di 10 negeri bermula 15 Feb ini dibuka kepada semua peringkat umur dengan sasaran golongan berusia 17-25 tahun sebagai persediaan ke sirkit profesional.

No comments:

Post a Comment