Friday, January 18, 2013

Kehadiran Askar Timbalan Setia Negeri Johor Prosedur Biasa

Anggota JMF menjalankan tugas mereka pada perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu, Selasa lalu. Kehadiran mereka adalah untuk mengawal pergerakan kerabat DiRaja Johor.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan, kehadiran Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) pada perlawanan Liga Super antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bharu Selasa lalu merupakan prosedur biasa buat kerabat diraja.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad memberitahu, ia sejajar dengan polisi JMF yang ditugaskan menjaga keselamatan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim. Azzuddin berharap perkara itu tidak disensasikan oleh mana-mana pihak selain menggesa penyokong-penyokong bola sepak tempatan tidak terkeliru dengan kehadiran JMF itu.


“Sebenarnya, ia adalah prosedur biasa buat JMF untuk menjaga keselamatan Tunku Ismail selaku Tengku Mahkota Johor.

“Sebelum Tunku Ismail berangkat ke Kelantan, JMF terlebih dahulu bergerak ke stadium bagi memastikan perjalanan baginda berjalan dengan lancar.

“Namun disebabkan masalah tertentu, Tunku Ismail tidak dapat hadir pada perlawanan tersebut.

“Saya berharap kepada semua pihak agar tidak salah faham mengenai situasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

 Terdahulu, kehadiran JMF yang lengkap bersenjata telah mengundang perasaan kurang senang dalam kalangan penyokong-penyokong Kelantan.

Difahamkan, kehadiran anggota tentera tersebut telah mempengaruhi tindakan peminat-peminat The Red Warriors yang membuat kecoh sejurus tamat perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan sekadar seri 1-1 dengan Johor DT. Dalam perkembangan sama, Azzuddin turut mengesahkan bahawa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak menghantar aduan rasmi berhubung perkara itu.

“Setakat ini FAM tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada KAFA berhubung kehadiran JMF,” katanya.

No comments:

Post a Comment