Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berharap kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu (APMT) mengumpul maklumat mengenai bacaan sikap pengundi tanpa bertolak ansur dan hanya bersandarkan andaian semata-mata kerana mahu menjaga hati serta hubungan dengan kumpulan berkenaan.
Beliau berkata sikap itu bukan sahaja menyukarkan maklumat tepat dikumpul bagi melicinkan perjalanan parti, malah boleh menjejaskan matlamat Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
“Kita yakin dan percaya dengan kursus dan tunjuk ajar yang dijalani kakitangan sehingga hari ini, APMT mampu menjalankan tugas dengan sempurna, penuh amanah dan bertanggungjawab dengan memastikan maklumat serta laporan yang diterima adalah tepat dan bukan berasaskan andaian semata-mata.
“Saya menyerui anggota APMT mendapatkan maklumat mengenai bacaan sikap, kedudukan, isu dan sebagainya (mengenai penduduk) dengan penuh tanggungjawab tanpa mengambil kira perasaan, peribadi, ukhwah kita untuk memastikan parti ini terus dipertahankan sampai bila-bila,” katanya pada Majlis Makan Malam Menteri Besar Bersama kakiatangan APMT, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail dan Pengarah APMT, Haji Roshali Taha.
Menteri Besar berkata, dalam situasi PRU13 yang semakin hampir tidak lama lagi, perjuangan kakitangan APMT juga harus berterusan sehingga ke penghujungnya dan tidak tewas sebelum mencapai sasaran kejayaan.
“Justeru itu, dalam keadaan kita berada di persimpangan PRU13 yang semakin hampir, semua kakitangan APMT juga tidak boleh lemah dan longlai di pertengahan jalan sebelum mencapai kejayaan khususnya dalam memperjuangkan parti BN dan Umno serta memenangi PRU13 dengan majoriti yang besar.
“ Demi memastikan kejayaan itu, saya berharap jentera kita dapat bergerak seiring, seirama dan sederap bagi memperkukuhkan parti dan politik kita serta menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab untuk kesinabungan parti BN dan Umno, supaya mampu dipertahankan sampai bila-bila,” katanya.
Beliau berkata, semua kakitangan APMT juga harus bekerja keras, memperbaiki kelemahan dan menggandakan kekuatan bagi mencapai kejayaan dan sasaran sebenar.
No comments:
Post a Comment