Friday, January 18, 2013

Terengganu Agih Bantuan RM500 Kepada Mangsa Banjir

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat mangsa banjir di Kemaman baru-baru ini.
Kerajaan Terengganu akan mengagihkan bantuan sebanyak RM500 kepada mangsa banjir di negeri ini, mulai pertengahan Feb depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata bantuan kepada setiap keluarga itu diberikan kepada mangsa yang mendaftar dengan pusat pemindahan banjir yang diiktiraf.

"Terdapat antara 5,000 hingga 9,000 keluarga terlibat dalam banjir yang melanda negeri Terengganu baru-baru ini dan daerah Kemaman merupakan antara yang paling teruk melibatkan seramai 3,000 keluarga," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu, kelmarin.

Ahmad Said berkata, bayaran wang tunai yang julung kali disediakan kerajaan negeri itu dijangka melibatkan peruntukan antara RM4 juta dan RM4.5 juta.

"Ini merupakan pertama kali bantuan dari kerajaan negeri kepada mangsa...bantuan banjir dari kerajaan pusat itu lain," katanya.

Ahmad Said menjelaskan, bantuan itu diberikan atas keprihatinan kerajaan negeri yang mendapati banyak rumah dan peralatan elektrik milik mangsa musnah akibat ditenggelami banjir.

Sementara itu, Ahmad Said  turut menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif My Socks Malaysia Sdn Bhd, Johnny Wong di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu.

Syarikat pengeluar stokin tempatan itu menyumbang 100,000 pasang stokin bernilai RM200,000 kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSN)untuk diberikan kepada bayi yang lahir dari Januari hingga Mac depan. "Kita bagi sumbangan ini sebagai tanggungjawab sosial syarikat kami.

Kami bertapak di sini (Kawasan Perindustrian Gong Badak), maka kami ingin menyumbang kepada rakyat negeri ini," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Said turut menyerahkan sebuah kerusi roda elektrik kepada seorang peniaga Orang Kelainan Upaya (OKU) di Pasar Besar Kedai Payang bagi memudahkan beliau menjalani kehidupan harian.

Kamariah Abdul Ghani, 49, yang kudung kedua-dua tangan dan kaki sejak lahir berniaga di pasar itu, lebih 10 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment