Sunday, January 27, 2013

Keluarga Pesakit Barah Tulang Terharu Terima Kunjungan Menteri Besar Terengganu


Meskipun kesibukan masa sebagai Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said tetap tidak melupakan warga yang memerlukan bantuan apabila hari ini meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat seorang pesakit barah tulang,

Muhammad Daniel Iskandar Mohd Nazrul, 11, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Lumpur.
Pesakit cilik itu nyata gembira apabila menerima kunjungan Ahmad yang memberi semangat untuknya terus melawan kesakitan akibat barah tersebut.

Muhammad Daniel dikesan menghidap penyakit kronik itu setelah mendapatkan rawatan di HSNZ akibat terjatuh dari basikal tujuh bulan lalu. Ibunya, Nur Marisa Omar, 34, ketika ditemui berkata beliau hanya membawa anaknya mendapatkan rawatan secara tradisional di kampung untuk memulihkan tulang lututnya yang terkeluar, namun gagal.

"Selepas berurut keadaan kaki anak saya bertambah bengkak. Pada mulanya dia boleh berjalan seperti normal, tidak lama selepas itu terpaksa memakai tongkat sebelum kakinya membengkak dan bernanah sehingga beliau terpaksa mengesot untuk bergerak," katanya sedih.

Melihat keadaan kaki anaknya bertambah teruk, beliau terus mendapatkan rawatan ke HSNZ sebelum dirujuk oleh HSNZ ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan pada kelmarin  untuk menjalani kimoterapi.

Nur Marisa berkata jika keadaan kaki anaknya bertambah teruk, doktor memaklumkan mereka terpaksa memotongnya.

Sementara itu, Ahmad ketika bercakap kepada pemberita selepas melawat pesakit itu menasihatkan ibu bapa supaya mendapatkan rawatan awal di hospital sekiranya anak mereka mengalami masalah kesihatan.

"Kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang lagi akibat sikap ibu bapa yang lebih suka mendapatkan khidmat bomoh sebelum ke hospital.

"Malah ibu bapa juga diharap dapat memaklumkan kepada kerajaan sekiranya keluarga mereka menghadapi masalah kesihatan bagi membolehkan sumbangan diberi dengan kadar segera," katanya.

Ahmad Said juga telah mengarahkan pihak bertanggungjawab untuk menyediakan bantuan mengikut keperluan pesakit tersebut dengan membuat permohonan kepada Tabung Kronik yang disediakan kerajaan negeri Terengganu.

No comments:

Post a Comment