Lapan premis makanan diarah tutup kerana melanggar pelbagai akta berkaitan kesihatan dalam operasi bersepadu kesihatan awam peringkat negeri kali pertama yang diadakan di Besut bermula semalam hingga tengah hari ini.
Dalam operasi besar-besaran membabitkan 50 penguatkuasa dan pegawai kesihatan dari seluruh negeri itu, 65 premis dan tempat jualan makanan dikompaun hampir RM2,000.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Anwa Sulaiman berkata enam premis jualan bahan mentah di Pasar Besar Jerteh turut diperiksa dan 359 jenis bahan jualan bernilai lebih RM1,000 dirampas atas kesalahan menjual bahan yang telah tamat tempoh dan rosak selain tidak meletakkan label.
Katanya 19 premis membabitkan stesen minyak, kedai runcit dan pejabat kerajaan turut diperiksa dengan 10 individu dikompaun kerana melanggar peraturan kawalan hasil tembakau 2004.
Beliau berkata pihaknya turut memeriksa sembilan premis termasuk pejabat kerajaan yang mana tujuh dari premis yang diperiksa positif sebagai tempat pembiakan nyamuk.
Bercakap kepada pemberita di Besut, Dr Anwa berkata dalam satu operasi sekatan jalan raya yang diadakan di kawasan Bukit Yong dengan kerjasama polis malam tadi, anggotanya turut merampas 89 jenis barangan termasuk makanan yang melanggar Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.
Katanya operasi tersebut akan diteruskan setiap bulan di setiap daerah dalam memastikan para peniaga tidak melakukan pelanggaran akta jualan yang boleh menjejaskan pengguna di negeri ini.
No comments:
Post a Comment