Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan setinggan sifar dalam tempoh lima tahun lagi dengan pembinaan 10,000 unit rumah kos rendah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata daripada jumlah itu, sebanyak 8,000 unit sudah siap manakala bakinya masih dalam pembinaan.
"Perkara ini telah kita masukkan sebagai manifesto BN untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti di mana kita akan membina 1,000 unit rumah kos rendah di setiap DUN seperti di Batu Buruk, Manir dan Wakaf Mempelam jika BN memenangi kawasan itu," katanya.
Menurutnya, penghuni kawasan setinggan akan dipujuk supaya berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa, dilengkapi pelbagai kemudahan asas dan harga lebih murah hasil subsidi diberi kerajaan.
Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina lebih banyak projek perumahan kos rendah termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai pembangkang, katanya dalam sidang media selepas melawat tapak projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Hiliran, Chabang Tiga di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata pembinaan lebih banyak rumah kos rendah itu juga selaras dengan hasrat Terengganu untuk menyusun semula pembangunan dalam bandar bagi mencapai status negeri maju menjelang tahun 2020.
PPR Padang Hiliran menempatkan tiga blok rumah pangsa setinggi 17 tingkat dengan 1,002 unit rumah, dilengkapi surau dan dewan serbaguna dengan kapasiti 1,000 orang pada satu-satu masa.
Ahmad berkata buat julung kalinya juga, terdapat 12 unit rumah dikhaskan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan dilengkapi dengan bilik khas yang sesuai dengan keperluan golongan itu.
"Projek yang sudah siap 53.7 peratus dan dijangka selesai menjelang Ogos tahun ini itu memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan RM2,500 ke bawah dengan harga RM35,000 seunit.
"Harga asal seunit rumah ialah RM125,000 dan kerajaan berharap melalui subsidi yang diberi, lebih ramai golongan miskin dalam bandar mampu memiliki rumah sendiri," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment