Friday, January 18, 2013

Pemuda Maut Kereta Dipandu Hilang Kawalan Di Dungun

Seorang pemuda terbunuh apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Km 80.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Batu 49, di Dungun awal pagi tadi.

Mangsa, Mohd. Rizuan Rosli, 22, yang berasal dari Kampung Jerangau Sungai terbunuh selepas kereta Proton Wira Aeroback yang dipandunya dipercayai terbabas sebelum melanggar sebatang tiang elektrik di situ lalu terbalik.

Kemalangan pukul 4.50 pagi itu dipercayai berlaku selepas kenderaan itu hilang kawalan ketika melalui satu selekoh di situ menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas minum bersama rakan di Bandar Dungun. Ketua Polis Daerah, Supritendan Dahlan Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Dungun terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Wa, katanya.

No comments:

Post a Comment