Thursday, January 31, 2013

Pencapaian STAM Di Kedah, Terengganu Dan Kelantan Meningkat

Guru Penyelaras Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Ustaz Fuad Abdul Jabar mengaminkan doa tanda kesyukuran selepas calon-calon STAM mengambil keputusan peperiksaan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan Pesantren Abdul Taib Mahmud di Kuching.

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 di Kedah, Terengganu dan Kelantan menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Di KUALA TERENGGANU, empat daripada 209 calon yang menduduki peperiksaan STAM di tiga pusat peperiksaan negeri Terengganu berjaya memperoleh keputusan 10 Mumtaz.

Pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) meningkat 0.17 peratus iaitu 2.37 pada 2012 berbanding 2.54 pada tahun sebelumnya.

Ketua Sektor, Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Ahmad Shukor Mansor berkata walaupun terdapat penurunan bilangan calon yang memperoleh keputusan mumtaz daripada 31 orang pada 2011 kepada hanya 21 orang pada 2012, namun GPN 2.37 terus mengatasi Gred Purata Nasional pada tahun ini iaitu 3.10.

Sementara itu pelajar yang berjaya mendapat 10 mumtaz, Muhammad Aizat Aizani Azman, 20, dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin menyifatkan pengurusan masa yang baik dan hubungan yang erat bersama guru adalah antara rahsia kejayaannya.

Nur Syazana Apandi, 20, pula berkata beliau sentiasa mengadakan sembahyang hajat dan membaca al-Quran setiap malam sebelum mengulang kaji pelajaran supaya usahanya itu diberkati Allah. "Tambahan pula kesemua 10 subjek dalam STAM memang agak sukar kerana bahasa Arab digunakan dalam peperiksaan itu, namun tunjuk ajar guru banyak membantu saya mencapai kejayaan ini," katanya yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke Mesir.
 
Di ALOR SETAR Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata keputusan STAM 2012 menunjukkan peningkatan sebanyak 3.18 peratus berbanding 2011.

Beliau berkata daripada 846 calon sekolah yang menduduki peperiksaan itu, sebanyak 465 calon iaitu 54.96 peratus berjaya mendapat sijil STAM dengan pangkat sekurang-kurangnya maqbul (lulus). Beliau berkata seramai 35 calon memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) berbanding 23 calon pada 2011 manakala 138 calon memperoleh keputusan Jayyid Jiddan (sangat baik) berbanding 41 calon pada tahun sebelumnya.

"Selain itu seramai 225 calon memperoleh Jayyid (baik) berbanding 200 pada 2011 dan 67 calon pula memperoleh Maqbul berbanding 168 calon pada sebelumnya," katanya di Alor Setar semalam.

Beliau berkata hampir semua mata pelajaran mencatatkan peningkatan kecuali mata pelajaran Tafsir dan Ulumuhu yang menunjukkan penurunan 3.7 peratus manakala Arudh dan Qafiyah menurun 4.36 peratus.  Di

KOTA BAHARU sebanyak 1,242 daripada 1,825 pelajar sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) lulus penuh dalam peperiksaan STAM 2012.

Penolong Pengarah Bahagian Peperiksaan dan Penilaian YIK, Ibrahim Fikri Mamat berkata peratusan kelulusan itu menunjukkan peningkatan 1.44 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya pada 2011, seramai 1,179 daripada 1,770 pelajar yang menduduki peperiksaan tersebut lulus penuh. Daripada jumlah calon yang mengambil peperiksaan itu tahun lepas, 115 calon memperoleh pangkat Mumtaz (cemerlang) berbanding 97 pada 2011, katanya.

Beliau berkata peningkatan yang memberangsangkan itu amat membanggakan pihak pengurusan YIK yang mengambil sistem peperiksaan STAM diperkenalkan Kementerian Pelajaran.

Ibrahim Fikri berkata Sekolah Maahad Muhammadi (Perempuan) Kota Baharu muncul sekolah terbaik di mana mencatat kelulusan 97.78 peratus daripada 90 calon yang menduduki peperiksaan itu.

Beliau berkata 24 sekolah agama, pusat pengajian pondok dan kolej di bawah YIK, mengambil peperiksaan STAM di seluruh Kelantan tahun ini.

No comments:

Post a Comment