Thursday, January 31, 2013

Sekolah Pondok Persendirian di Terengganu Diminta Daftar Dengan JPNT

Sekolah pondok persendirian di negeri ini disaran agar mendaftar dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bagi mendapat pelbagai kemudahan daripada kerajaan termasuk bantuan awal persekolahan RM100.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tindakan itu juga membolehkan kerajaan memantau sukatan mata pelajaran dan aktiviti kokurikulum sekolah berkenaan supaya selari dengan sistem akademik peringkat nasional.


"Banyak kebaikan dan faedah yang akan dinikmati oleh pelajar dan guru jika sekolah pondok persendirian berdaftar dengan JPNT kerana kita akan meneliti setiap isu di sekolah terutama dari aspek keselamatan dan masa depan pelajar.

"Justeru ibu bapa perlu berhati-hati dalam memilih sekolah yang sesuai untuk menghantar anak mereka mendapat pendidikan kerana tanpa pemantauan kerajaan, kemungkinan pelajar terdedah dengan tindakan atau aktiviti subversif yang boleh memudaratkan masa depan anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program bahasa Radio Malaysia Terengganu FM di Kuala Terengganu.

Beliau bagaimanapun menegaskan jumlah sekolah pondok persendirian yang masih belum mendaftar dengan JPNT adalah kecil dan mereka bantuan dari pihak-pihak tertentu.

Mengenai pengagihan bantuan awal persekolahan RM100, Ahmad Razif berkata, hampir semua sekolah sudah menerimanya termasuk yang terletak di pulau-pulau.

"Sekolah di pulau sedikit lewat menerimanya kerana kesulitan untuk ke pulau ekoran musim tengkujuh baru-baru ini, namun pengagihan kepada sekolah di pulau sudah pun selesai," katanya.

Sebanyak RM25.46 juta bantuan persekolahan diagihkan kepada seramai 254,634 orang pelajar di seluruh Terengganu mulai 15 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment