Mohd Taha bersama ahli jawatankuasa JKKK Kampung Bukit Kuang menunjukkan laluan di hadapan stesen minyak yang bercelaru dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. |
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampungnya (JKKK), Mohd Taha Ali berkata, laluan di situ yang tidak sistematik juga akan mengundang risiko kemalangan kepada pelajar yang berulang alik ke sekolah.
Katanya, kontraktor yang mengendalikan projek berkenaan seharusnya peka akan aspek keselamatan di sepanjang laluan yang terlibat dengan projek pembinaan itu.
“Keadaan laluan di hadapan stesen minyak agak bercelaru dan ia perlu diperbaiki demi keselamatan pengguna yang melalui jalan itu. “Sepanjang laluan di tapak pembinaan ini dari arah Kerteh-Chukai juga tidak mempunyai pusingan U menyebabkan pengguna terpaksa melakukan pusingan di lampu isyarat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail 2,” katanya ketika meninjau laluan sepanjang tapak pembinaan projek itu bersama ahli jawatankuasa JKKK kelmarin.
Katanya, kontraktor juga mengambil masa yang agak lama untuk memperbaiki jalan yang rosak di sepanjang laluan itu menyebabkan seolah-olah JKKK seperti tidak cakna akan masalah itu.
“Keadaan jalan yang rosak dan laluan gelap pada waktu malam menyebabkan aliran trafik di kawasan ini bergerak perlahan, sekali gus membuatkan kesesakan lalu lintas lebih teruk,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Mohd Yusof Abdullah memohon agar pihak kontraktor turut mengambil berat akan kedudukan kren yang digunakan untuk kerja-kerja pembinaan itu yang terletak berdekatan sungai.
“Ketika kerja-kerja pembinaan tidak dilakukan, kedudukan kren tidak dialihkan dan menghala ke arah jambatan lama yang menjadi laluan orang ramai dan ini membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment