Sebatang dawai ditemui dipercayai digunakan pencuri sebagai kunci pendua untuk memasuki pintu stor masjid. |
Timbalan Pengerusi Masjid Kampung Baru Kuala Abang, Mustapa Awang berkata, sehingga kini, sudah empat kali masjid dibina sejak lebih tiga tahun lalu itu dipecah masuk pencuri.
Tombol pintu yang diumpil pencuri sebelum memecah masuk ke dalam stor menyimpan peralatan bunyi di dalam Masjid Kampung Baru Kuala Abang. |
Mustapa berkata, peti tabung masjid menjadi sasaran utama pencuri kerana setiap kali berlakunya kes kecurian, peti tabung yang digunakan untuk menyimpan wang derma jemaah turut lesap.
Terbaru dalam kejadian pagi kelmarin, sebuah tabung masjid lesap selain beberapa pintu masjid rosak akibat diumpil oleh penjenayah yang dipercayai menceroboh masuk ke dalam bangunan, pada waktu awal pagi ketika penduduk sekitar sedang nyenyak tidur.
“Kecurian dalam masjid semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. “Kita amat kesal perkara sebegini boleh berlaku, kita sepatutnya menjaga kehormatan dan keselamatan rumah ibadat, bukan mencuri dan ia amat memalukan umat Islam,” kata Mustapa yang mengesyaki perbuatan khianat itu dilakukan oleh individu yang selalu keluar masuk masjid.
Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru Kuala Abang, Mohd Nasir Hashim pula berkata, sebelum ini, sebatang tongkat digunakan oleh Khatib untuk membaca khutbah yang diletakkan di mimbar masjid, juga turut hilang dikebas pencuri.
Katanya, kejadian seumpama itu bukan pertama kali, malah sudah beberapa kali berlaku biarpun ada usaha dilakukan ahli jemaah untuk mengunci pintu utama masuk ke masjid yang mampu menampung lebih 1,000 jemaah pada satu-satu masa itu.
Menurut Nasir, sebelum ini besi penutup longkang juga turut hilang beberapa kali dikebas pencuri. “Kita juga sudah tidak tahu bagaimana hendak mengatasi masalah ini.
“Mungkin dengan pemasangan kamera litar tertutup dapat membantu mengenal pasti suspek yang sering mencuri harta benda masjid, sekurang-kurangnya risiko kecurian dapat dikurangkan,” katanya.
Akibat kejadian itu, satu laporan polis juga turut dibuat di Balai Polis Dungun dan polis kini sedang mencari suspek dipercayai terbabit dengan perbuatan tidak bertanggung jawab dan memalukan itu.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment