Friday, January 4, 2013

Pengusaha Kereta Sewa Terengganu Ada Peranan Tersendiri Jayakan TMT 2013

 

Pengusaha kereta sewa di negeri ini perlu memainkan peranan sebagai 'duta kecil' dengan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan mereka bagi membantu kerajaan menjayakan program Tahun Melawat Terengganu (TMT) mulai tahun ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata mereka perlu mengutamakan tahap layanan yang terbaik semasa membawa pelancong atau penumpang khususnya dari luar Terengganu.

"Oleh yang demikian, pengusaha kereta sewa jangan hanya memikirkan peranan anda (pengusaha) sekadar membawa penumpang, tetapi dalam masa yang sama harus memberi pengalaman yang menyeronokkan ketika mereka tiba atau berada di negeri ini," katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian uniform dan kit kertas risalah kepada 800 pengusaha kereta sewa (teksi) negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis itu, pengusaha kereta sewa di negeri ini diberikan dua uniform serta kit sempena TMT 2013 melibatkan peruntukan kira-kira RM120,000.

Ahmad Said mengingatkan pengusaha kereta sewa bahawa setiap penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka akan menilai tahap perkhidmatan yang mereka dapat melalui pengalaman baik atau buruk sepanjang berada di negeri ini.

Pemandu kereta sewa (teksi) di Terengganu juga diminta menjaga imej negeri dengan memberi layanan terbaik kepada pelancong serta melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan isu semasa.

Pendekatan itu bukan saja mampu menaikkan imej negeri di mata orang luar malah mempertingkatkan mutu perkhimatan pengangkutan awam.

Ahmad Said berkata selaku duta kecil Terenganu yang membawa penumpang terutama pelancong luar Terengganu, peningkatan layanan pelangan dan perkhidmatan wajar diutamakan.

Katanya, jika membawa penumpang jangan hanya memikirkan duit tambang dan membawa pelancong ke destinasi yang ingin dituju saja, pada masa sama perlu memberi pengalaman menyeronokkan.

“Apa yang dipelajari serta latihan yang diberikan dalam siri program peningkatan imej kereta sewa harus dipratikkan. “Perlu difahami setiap pengguna atau pelanggan, mereka akan menilai pelbagai aspek sama ada berkaitan sikap pemandu dan pengalaman yang diperoleh,” katanya.

No comments:

Post a Comment