Friday, January 11, 2013

Proses Pembangunan UniSZA Memerlukan Komitmen Menyeluruh - Yahaya

Proses pembangunan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua peringkat warganya, kata Naib Canselor universiti itu Prof Dr Yahaya Ibrahim.

Beliau yang mengambil alih tugas menerajui universiti itu mulai 1 Jan, berkata usaha pembangunan semula UniSZA yang sebelum ini adalah Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) perlu dibuat secara proaktif dan diperhalusi dengan kaedah tertentu.

"Dalam konteks pengurusan organisasi seterusnya hal ehwal pelajar serta pembangunan infrastruktur, sebahagiannya daripada tinggalan Kusza, ada yang sesuai, ada yang tidak dan perlu dibangunkan semula," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penghargaan dan meraikan pelantikannya oleh Pejabat Pendaftar UMT di Kuala Terengganu.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Datuk Dr Ibrahim Koomo. Yahaya, 51, dilantik sebagai Naib Canselor UniSZA berkuatkuasa 1 Jan hingga 31 Dis 2015 menggantikan Datuk Prof Dr Alias Daud yang tamat tempoh lantikan pada 31 Dis lepas.

No comments:

Post a Comment