Sunday, January 27, 2013

Tampil Minta Bantuan Kerajaan Jika Sakit Kronik Ahmad Said

Rakyat negeri ini yang mengalami penyakit kronik dan terbeban dengan kos rawatan diminta tampil memaklumkan perkara itu kepada kerajaan melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing bagi membolehkan bantuan segera diberikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri menyediakan dana khusus untuk membantu penghidap penyakit seperti jantung, buah pinggang dan kanser untuk mendapatkan kemudahan rawatan dan kepakaran yang diperlukan.


"Kita minta rakyat yang ada masalah seperti ini tampil dan supaya mendapat rawatan sebelum penyakit mereka menjadi lebih buruk. "Dana tersebut mencukupi untuk tujuan itu dan kerajaan juga sedia menambah peruntukan demi memastikan rakyat negeri ini mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Mohd. Danial Iskandar Mohd. Nazrul, 11, yang menghidap kanser tulang di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, Rabu lalu.

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini agar segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan doktor yang bertauliah daripada berjumpa bomoh bagi memastikan penyakit yang dialami dapat dirawat dengan cara yang betul.


Mohd. Danial yang merupakan pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak dikesan menghidap penyakit itu selepas dimasukkan ke hospital terbabit setelah terjatuh daripada basikal ketika pulang dari sekolah Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, sebelum dimasukkan ke hospital anak sulung daripada lima beradik itu pernah dibawa berjumpa bomoh menyebabkan keadaannya lebih teruk.

Mohd. Danial terpaksa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu kerana perlu menjalani kemoterapi memandangkan kakinya semakin membengkak selain berlaku jangkitan kuman pada bahagian kemaluannya.

Menyifatkan kejadian yang terpaksa dilalui Mohd. Danial sebagai tragedi, Ahmad berkata, pihaknya akan berusaha membantu dan berharap Mohd. Danial dapat dipulihkan.

"Kita akan tengok jenis bantuan yang diperlukan. Misalnya kalau kaki terpaksa dipotong, mungkin kita boleh sediakan kaki palsu," katanya.

Sementara itu, ibu Mohd. Daniel, Nurmarisa Omar, 34, mengakui terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib yang menimpa anaknya apatah lagi dia kini tidak dapat mencari rezeki sebagai peniaga kedai makan di Kuala Berang kerana perlu menjaga anaknya itu.

"Dia tidak boleh sejuk dan biasanya pada waktu malam dia akan menangis dan mengadu sakit kaki. Sebagai ibu, keadaannya itu memang menyedihkan saya," katanya.

No comments:

Post a Comment