Sunday, January 27, 2013

Terengganu Guna Khidmat Jurulatih China


Kerajaan Terengganu menggunakan khidmat tiga jurulatih dari China bagi memastikan negeri itu terus cemerlang dalam bidang sukan sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) akan datang.

Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Zainal Abidin Hussin berkata, sukan yang terlibat dengan jurulatih dari Tembok Besar itu ialah acara menembak, renang dan wushu yang telah dikenal pasti setelah mengadakan lawatan ke negara itu Disember lalu.

"Cuma buat masa ini, kita dalam proses untuk membawa mereka ke Terengganu dalam masa terdekat ini," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, dalam tempoh sama juga, Terengganu dijangka akan mendapat khidmat seorang jurulatih dari Korea Selatan bagi acara ping pong yang diusahakan Persatuan Ping Pong Malaysia. Selain itu, katanya acara gimnastik dan terjun juga dijangka akan menggunakan khidmat jurulatih dari China.

"Kita masih menunggu biodata daripada pihak berkuasa di China tentang kedua-dua jurulatih berkenaan sebelum membawanya ke negeri ini," katanya.

Zainal Abidin berkata, Terengganu pernah mendapat sentuhan bekas jurulatih renang kebangsaan tetapi jurulatih berkenaan telah meletak jawatan akhir tahun lepas.

Terengganu menjuarai Sukma Terengganu pada (2008), Sukma Melaka (2010), Sukma Kuala Lumpur (2011) dan Sukma Pahang (2012). Katanya, setakat ini Terengganu mempunyai enam orang jurulatih import termasuk dalam sukan badminton, sepak takraw, gimnastik dan tinju.

No comments:

Post a Comment