Monday, February 25, 2013

9,639 Berjaya Khatam Al-Quran Di Bawah Program Pintar Al-Quran Di Terengganu Tahun Lalu

Program Pintar al-Quran melibatkan empat agensi iaitu Yayasan Islam Terengganu (YIT), Jabatan Pendidikan (Pra-Sekolah), Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Jabatan Perpaduan Negara berjaya membantu 9,639 kanak-kanak khatam al-Quran di negeri ini tahun lepas.

Penolong Pengarah Pentadbiran Yayasan Islam Terengganu Norasyikin Mohammad berkata selain berjaya khatam al-Quran, seramai 370 lagi kanak-kanak berusia enam tahun berjaya menghafaz surah Yasin berserta terjemahannya.

"Program ini bermula pada tahun 2006 dan pada awalnya hanya 937 kanak-kanak telah khatam al-Quran (ketika itu hanya YIT yang terlibat) dan selepas itu jumlahnya meningkat dari setahun ke setahun," katanya harin ini.

Beliau berkata tidak semua orang dapat menghafaz surah Yaasin tetapi kanak-kanak yang berusia enam tahun membuktikan mereka boleh menghafaz surah itu.

Katanya pencapaian ini sangat membanggakan kerana kanak-kanak yang masih kecil sudah khatam al-Quran dan menghafaz surah Yaasin. Guru Pintar al-Quran Tadika YIT, Kartina Ismail pula berkata setiap hari, murid tadika akan diajar satu ayat berserta terjemahannya daripada ayat 1 hingga ayat 83 surah Yaasin.

"Tidak susah mengajar murid tadika ini kerana mereka telah khatam al-Quran pada usia lima tahun setelah menyertai Program Pintar al-Quran," katanya.

No comments:

Post a Comment