Azlah menerima replica kunci sebagai simbolik penyerahan yang disampaikan Ahmad Said pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). |
Azlah, anak kepada perwira Konstabel Jaafar Hassan yang ‘gugur’ dalam tragedi menentang komunis yang bertindak menyerang Balai Polis Bukit Kepong bersyukur dapat tinggal di rumah sendiri.
“Sebelum ini sejak kira-kira 30 tahun lalu, makcik menumpang di rumah saudara di Chendering kerana tiada tempat tinggal lain yang dapat bergantung lagi.
“Terima kasih dan bersyukur kerana janji Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang pernah memberitahu makcik untuk mencari kawasan bagi membina sebuah rumah, ditunaikan,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), di Dewan Rumah Pangsa Cherong Binjai, Chendering di Kuala Terengganu.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga, Mohd Shafaruddin Mustaffa, Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Pegawai Pembangunan Dun Batu Burok, Datuk Che Mat Jusoh serta ketua jabatan, cawangan Umno dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.
Menurut Azlah, dia yang teruja bercampur sedih dengan pemberian sebuah rumah PPRT itu bakal berpindah ke rumah barunya dalam masa seminggu.
Dia yang sedang mengalami masalah penyakit gout, kini tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan, malah bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.
“Makcik syukur sangat sebab sekurang-kurangnya ada juga sumber rezeki untuk makan, minum dengan duit bantuan yang diberi,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima orang kurang upaya, Abdullah Jusoh, 55 berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana membina rumah baru untuk dia dan isteri, Aishah Mohd, 45, tinggal dalam keadaan lebih selesa.
“Saya adalah mangsa perpindahan Pantai Pandak dan kini menetap di Flat Desa Keluarga, tetapi tidak perlu bayar pun, kerajaan bagi duduk percuma sahaja.
“Sekarang dapat rumah baru tiga tingkat, walaupun saya tidak dapat melihat keadaan rumah ini, tetapi saya percaya kerajaan menyediakan rumah yang lebih selesa daripada dulu,” katanya.
Dalam waktu sama, seramai 71 keluarga mangsa perpindahan di kawasan Pantai Pandak yang kini menetap di Flat Desa Keluarga milik Yayasan Pembangunan Keluarga menerima kunci rumah baru iaitu di Rumah Pangsa Cherong Binjai, Chendering.
No comments:
Post a Comment