Saturday, February 16, 2013

Baik Pulih Bumbung SSMZA Lancar - Za'abar


Kerja membaik pulih bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang runtuh tiga tahun lepas kini berjalan lancar dalam dua pakej melibatkan peruntukan awal RM15 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Datuk Za'abar Mohd Adib berkata dua pakej yang dijalankan serentak itu termasuk membuka semula atap pada bumbung yang lebih kecil yang tidak terlibat dengan runtuhan tempoh hari.

"Mengikut kajian graviti bumbung itu juga tidak selamat, maka kita terpaksa buka balik atap pada bumbung berkenaan melibatkan peruntukan RM2 juta.

"Manakala pakej pertama untuk baiki bumbung utama stadium itu melibatkan RM13 juta," katanya ketika ditemui Bernama pada majlis agihan bantuan kepada mangsa banjir Daerah Dungun di Dungun.

Za'abar berkata kerja-kerja bagi pakej utama itu agak rumit dan memakan masa kerana ia perlu menyiapkan 306 rasuk dalam pelbagai bentuk yang melibatkan tempat duduk utama.

"Setelah kerja-kerja awal itu selesai, seterusnya kita akan melihat untuk memilih bumbung yang sesuai untuk dipasang di stadium itu," katanya menambah reka bentuk yang tidak membebankan struktur sedia ada akan ditentukan kemudian.

Beliau menjelaskan pakej itu juga termasuk kerja membaiki pulih padang stadium dan pendawaian elektrik yang merupakan komponen utama bagi kelancaran operasi sesebuah stadium.

Za'abar turut berharap agar kerja membaik pulih stadium itu terus berjalan lancar yang sebelum ini terganggu akibat musim tengkujuh.

Pada 2 Jun 2009, bumbung utama SSMZA yang bernilai RM292 juta dan menjadi lokasi utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 itu, runtuh menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

No comments:

Post a Comment