Monday, February 4, 2013

Indeks Jenayah Terengganu Menurun Pada Tangga Kelima

Jamshah menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota Rela yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang dalam membantu pihak polis.Jamshah menyampaikan sijil penghargaan.
Polis Terengganu telah berjaya menduduki tempat kelima teratas seluruh negara bagi kadar penurunan jenayah indeks sepanjang 2012.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, Terengganu berjaya mencatat penurunan sebanyak 3,505 kes berbanding 2011 iaitu sebanyak 3,841 kes.

Menurutnya, ini bermakna Polis Terengganu berjaya menurunkan sebanyak 336 kes yang bersamaan dengan negatif 8.7 peratus atau satu kes setiap hari.

“Kes yang mencatatkan penurunan paling ketara adalah samun tanpa senjat api yang mencatatkan penurunan sebanyak 31.7 peratus dan pecah rumah malam hari yang menunjukkan penurunan sebanyak 42.4 peratus.

“Dalam masa sama, sejumlah 1,967 kes daripada 3,505 kes yang dilaporkan telah berjaya diselesaikan iaitu bersamaan dengan 56.12 peratus. Ini meletakkan Kontinjen Terengganu di kedudukan yang teratas dalam usaha meningkatkan penyelesaian kes jenayah indeks bagi seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan PDRM Kontinjen Terengganu yang diadakan di pekarangan IPK, di Kuala Terengganu. Turut hadir, timbalannya iaitu Datuk Hamzah Md Jamil.

 Jelas Jamshah, dalam usaha membasmi kegiatan penyalahgunaan dadah pula, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut mempamerkan prestasi yang membanggakan.

Bagi tempoh Januari hingga Disember 2012 katanya, terdapat sebanyak 11,990 kes dengan tangkapan seramai 12,524 orang berbanding tempoh yang sama tahun 2011 yang melibatkan 12,088 kes dengan tangkapan seramai 12,845 orang.
 
“Ini bermakna terdapat penurunan kes sebanyak -98, bersamaan -1 peratus. Dan penurunan tangkapan seramai -321 orang, bersamaan -2 peratus. Kesemua ini berkaitan undang-undang Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Kajian bagi tempoh yang sama juga, terdapat peningkatan kes dan tangkapan bagi bekalan di bawah Seksyen 39 (b), Seksyen 39 (a), Seksyen 39(a)(1) dan Seksyen 6(b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhannya pada tempoh Januari hingga Disember 2012, terdapat sebanyak 377 kes dengan tangkapan seramai 530 orang manakala bagi tempoh sama tahun 2011, terdapat 298 kes dengan tangkapan seramai 450 orang.

Ini bermakna terdapat peningkatan sebanyak 79 kes dengan tangkapan seramai 80 orang.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pula telah menyiasat sebanyak 468 kes yang merangumi kes penipuan, pecah amanah, pemalsuan wang, jenayah siber, VCD/DVD lucah dan lain-lain yang melibatkan kerugian lebih RM6.3 juta sepanjang tahun lalu, berbanding tahun 2011 sebanyak 611 kes yang melibatkan kerugian berjumlah RM8.1 juta.

No comments:

Post a Comment