Penerima anugerah dan sijil penghargaan bergambar bersama Pengarah JBPNT, Md Salleh Sarbini |
Statistik operasi kebakaran dan menyelamat sepanjang tahun lalu menunjukkan nilai kerugian akibat kebakaran seluruh negeri ini melibatkan RM32.2 juta dan taksiran yang dapat diselamatkan sebanyak RM260.6 juta.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu (JBPNT), Md Salleh Sarbini berkata, sepanjang 2012, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebanyak 2,507 yang melibatkan satu kematian.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 972 melibatkan panggilan kebakaran, 1,438 melibatkan kerja-kerja menyelamat dan 97 merupakan panggilan khidmat khas.
“Kesemua panggilan itu melibatkan kebakaran bangunan (179 kejadian) dan rumah kediaman adalah yang tertinggi di mana melibatkan 98 kes,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tahunan JBPNT yang diadakan di Padang Kawat, Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penganugerahan sijil penghargaan kepada pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2012, turut tidak ketinggalan penyampaian sijil penghargaan kepada wartawan yang banyak membantu jabatan menyampaikan maklumat dan memaparkan berita kebombaan melalui media cetak dan elektronik.
Md Salleh berkata, memandangkan statistik panggilan kebakaran rumah kediaman meningkat, JBPNT akan menganjurkan pelbagai program terutama ceramah kesedaran kepada jabatan kerajaan dan swasta serta orang awam. “Kita mahu meningkatkan kesedaran orang awam terhadap bahaya kebakaran.
Pada 2012 sahaja, kita telah mengadakan 484 ceramah dan latihan kebombaan melibatkan 51,880 orang awam.
“Dengan adanya ceramah ini, masyarakat akan tahu perkara asas mengenai keselamatan kebakaran dan cara untuk bertindak apabila berhadapan kejadian tidak diingini,” katanya.
Jelasnya lagi, jumlah kerugian akibat kebakaran harta benda di seluruh negara juga meningkat sebanyak RM1.12 bilion sepanjang 2012 berbanding RM927 juta pada 2011.
No comments:
Post a Comment