Friday, March 8, 2013

15 Lokasi Lintasan Kehidupan Liar Dikenal Pasti

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan meletakkan papan tanda di 15 lagi lokasi panas yang dikenal pasti menjadi kawasan lintasan hidupan liar.

Timbalan Ketua Pengarah II Perhilitan, Dr Zaaba Zainol Abidin berkata lokasi terbaharu itu melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor, Perak, Johor, Kelantan, Melaka, Pahang dan Terengganu.

Beliau berkata penemuan lokasi baharu itu menjadikan jumlah kawasan lintasan hidupan liar meningkat kepada 126 di seluruh Semenanjung dan sebahagian besarnya melibatkan jaringan jalan raya yang merentasi kawasan hutan.

Pemasangan papan tanda berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya sebagai tindakan jangka pendek bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya, katanya ketika ditemu bual menerusi program Dalam Radar, terbitan Bernama Radio24.

Menurut Zaaba, bagi membendung kejadian haiwan liar menjadi korban dilanggar pengguna jalan raya, kerajaan juga telah mengambil kira pelan penggunaan tanah secara komperehensif menerusi program Central Forest Spine (CFS), yang mana Koridor Ekologi dan 'Wildlife Viaducts' (jejambat hidupan liar) akan diwujudkan dari utara ke selatan Semenanjung.

Jelas beliau, ia merupakan projek membina lebuh raya binatang atau koridor pergerakan untuk haiwan-haiwan liar dan dengan adanya laluan itu, hidupan hutan tersebut dapat bergerak bebas di kawasan habitat asal. Zaaba berkata projek yang menelan belanja besar itu sebahagiannya telah pun dilaksanakan secara berperingkat.

"Kerajaan telah memperuntukan lebih RM170 juta untuk mewujudkan tiga koridor berkenaan dan tujuh jejambat di sekitar Terengganu, Perak, Pahang dan Johor.

Projek-projek ini mula dilaksanakan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan kini diteruskan di bawah RMK10," katanya.

Di bawah program CFS, empat kompleks hutan utama di Semenanjung iaitu Banjaran Titiwangsa, Banjaran Bintang, Banjaran Nakawan dan Banjaran Timur yang meliputi Tanah Lembap Pahang Tenggara, Tasik Chini, Tasik Bera, Taman Negara Endau Rompin dan Rezab Hidupan Liar Kluang akan dihubungkan bagi membentuk kompleks hutan seluas 5.3 juta hektar.

No comments:

Post a Comment