Friday, March 8, 2013

Suluk Sabah Ikrar Setia Kepada Kerajaan Pusat, Negeri


Etnik Suluk di Sabah mengutuk tindakan kumpulan militan yang menceroboh negara dan berkubu di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, kira-kira 130 kilometer dari sini sejak 12 Feb lepas.

Mereka membantah pencerobohan itu sambil melafazkan ikrar taat setia kepada kerajaan persekutuan dan negeri.

Mereka juga berikrar tidak akan membantu penceroboh militan itu yang datang dari selatan Filipina.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada sidang akhbar selepas meninjau dan mendengar taklimat Ops Daulat, berkata ikrar itu terkandung dalam memorandum yang diserah kepadanya oleh pemimpin Masyarakat Etnik Suluk Sabah, pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) Suluk Sabah dan pemimpin akar umbi Suluk Sabah di Tawau, semalam.

Dalam memorandum yang diserah wakil kumpulan pemimpin itu, Datuk Abdul Rahman Ismail, mereka juga melafazkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sabah serta menjunjung tinggi perlembagaan Malaysia dan perlembagaan Sabah.

Kumpulan itu juga melafazkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Najib sebagai perdana menteri Malaysia dan Datuk Seri Musa Aman sebagai ketua menteri Sabah. Etnik Suluk Sabah itu juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan pimpinan perdana menteri kerana menjaga kebajikan mereka selama ini sehingga taraf hidup mereka semakin meningkat.

Etnik Suluk Sabah itu juga menjelaskan kepada perdana menteri bahawa mereka turut terkilan, terkejut dan sedih dengan kejadian pencerobohan militan bersenjata itu.

Mereka menentang sekeras-kerasnya dakwaan dan tuntutan pihak-pihak tertentu bahawa negeri Sabah ini adalah sebahagian negara jiran dan menyokong tindakan kerajaan Malaysia membanteras kumpulan itu.

Mereka turut merakamkan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban akibat perbuatan penceroboh itu. Mereka menegaskan keturunan mereka di Sabah dan negara jiran adalah bukan golongan ganas, kecuali golongan kecil yang telah terpesong daripada ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment