Tuesday, March 5, 2013

Balu Sultan Sulu Dakwa Ceroboh Sabah Hanya Drama

Maryam Kiram (kiri) bercakap pada sidang media di Makati semalam.
Balu kepada Sultan Sulu, Mohd Mahakuttah Kiram percaya pertempuran yang sedang berlaku di Sabah hanya satu drama dan menegaskan ia hanya sebagai pelan permainan untuk mendapatkan kembali hak milik mereka.

Bercakap kepada pemberita semalam, Puteri Maryam Kiram mendakwa yang dirinya juga pernah ditawar untuk menjadi sebahagian dari drama oleh pihak-pihak berkenaan satu ketika dahulu.

“Saya yakin perkara ini hanya drama selepas saya pernah duduk sekali bersama mereka. "Saya juga bersedia untuk berunding bagi menyelesaikan konflik ini dari terus berlanjutan.

Penyelesaian bersama kedua-dua belah pihak dapat dicapai,” ujar beliau dipetik The Philippine Star.

Maryam bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai "drama" tetapi mendakwa yang media turut memainkan peranan dalam mengada-adakan cerita.

Beliau yang mendakwa mewakili Kesultanan Sulu berkata ahli keluarga diraja telah menubuhkan Yayasan Diraja Kesultanan Sulu.

Maryam turut berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pemimpin Malaysia.

Beliau turut yakin yang kerajaan Malaysia mengamalkan sikap terbuka dan mampu menyelesaikan perkara ini secara baik.

Sementara itu, Persatuan Suluk Bersatu Sabah mengecam perbuatan kumpulan pengikut Sultan Sulu menceroboh Lahad Datu dan Semporna sehingga berlaku pertempuran dengan pihak berkuasa. Pemangku


Presiden, Faizal Sisar berkata, tindakan kumpulan bersenjata itu yang berjuang menuntut Sabah bukan sahaja sia-sia, malah merupakan satu jenayah antarabangsa.

“Kami orang Suluk sendiri mengutuk sekeras-kerasnya dan tidak bersetuju tindakan mencabul kedaulatan negara (Malaysia).

Kami warga Suluk berpaksi kepada Agong dan Kerajaan Malaysia yang selama ini hidup dalam keadaan aman damai, mempunyai peluang pekerjaan dan pendidikan yang baik di sini," katanya pada sidang media, di Senai, semalam.

Faizal berkata, persatuan itu mempunyai 800,000 keahlian di seluruh Malaysia dan hampir 20,000 di Johor yang menjadi pengundi di negara ini.

Beliau berharap kes pencerobohan ini diatasi segera kerana mereka tidak mempunyai hak ke atas Sabah.

“Apa yang penting kini, satu rundingan perlu diadakan dan kerajaan perlu memberi penerangan fakta sebenar, Sabah telah digadaikan dan tidak boleh dituntut, orang Suluk telah bersetuju masuk Malaysia dan menjadi rakyat negara ini.

“Jangan terpengaruh dan berasa ingin berkuasa mempengaruhi tentera DiRaja Suluk, yang tidak diiktiraf sebagai kerajaan dan telah hilang kedaulatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Persatuan Suluk Bersatu Sabah cawangan Johor, Yusop Abdoa sedih dengan insiden yang berlaku.

“Kita orang Sabah keturunan Sulu amat sedih dan anggap perkara ini (menceroboh) adalah tidak wajar.

“Bagi kami apa pun permasalahan pastinya boleh dilakukan secara rundingan dan tidak mahu melihat pertumpahan darah dari mana-mana pihak.

"Saya sendiri ada menghubungi saudara mara di sana, dan mereka juga sedih dengan kejadian ini, biarpun berada dalam keadaan selamat,” katanya.

No comments:

Post a Comment