Seorang anak layak digelar ‘si tanggang’ kerana bukan sahaja tergamak memukul ibunya dengan kasut, malah lebih kejam turut menampar mangsa selepas gagal mendapatkan wang.
Kejadian berkenaan berlaku di Kampung Jalan Sekolah Kebangsaan Chendering, di Kuala Terengganu, pagi kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi, suspek berusia 21 tahun turut mengacukan sebatang besi ke arah mangsa yang berusia 40 tahun.
Katanya, suspek kemudiannya mengugut akan membelasah ibunya jika mangsa masih berdegil dan enggan menunaikan permintaannya itu.
“Suspek yang memiliki rekod penyalahgunaan dadah seperti dirasuk apabila tergamak memukul ibunya bertubi-tubi dengan kasut dan menampar muka mangsa selepas permintaannya mahukan sejumlah wang tidak diendahkan.
“Tidak cukup dengan itu, dia turut mengambil sebatang besi dan mengacukannya kepada ibunya.
Bagaimanapun, mangsa nekad menyelamatkan dirinya walaupun terpaksa menanggung kesakitan ekoran perbuatan suspek," katanya.
Menurutnya, bimbang perkara buruk mungkin berlaku selepas ini, mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Chendering, di Kuala Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari, pada hari yang sama.
]Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Menurutnya, suspek masih belum ditangkap dan usaha memburunya giat dilakukan.
No comments:
Post a Comment