Kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan wanita dalam menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negeri dan Negara di samping berjaya mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, peranan seorang isteri begitu mencabar lebih-lebih lagi isteri wakil rakyat yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat.
“Seorang isteri mampu menaikkan populariti seorang suami dan begitu juga sebaliknya,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.
Katanya, beliau yakin Serikandi mempunyai agenda penting untuk ahli-ahlinya melengkapkan diri membantu tugas suami masing-masing untuk berbakti kepada masyarakat.
“Saya harap Serikandi akan terus main peranan membantu golongan tidak bernasib baik di negeri ini dan kerajaan akan sentiasa menyokong usaha yang dilakukan demi kebaikan semua,” katanya.
Pada majlis itu,Serikandi telah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai RM5,000 kepada balu dua orang anggota keselamatan dari negeri ini yang terkorban dalam peristiwa di Lahad Datu.
Sehubungan itu 17 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita berjumlah RM34,000 antaranya Persatuan Pandu Puteri, Persatuan Ibu Tunggal, Perkumpulan Wanita (WI), Persatuan Anggota dan Kakitangan Wanita Kerajaan Negeri (Puspanita) dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) yang masing-masing menerima RM2,000.
Turut mendapat perhatian Serikandi ialah lapan buah Pusat Dalam Komuniti (PDK) seluruh negeri yang masing-masing menerima RM1,000. Ahmad Said menyampaikan sumbangan berkenaan.
No comments:
Post a Comment