Wednesday, March 13, 2013
Najib - Kes Lahad Datu Jadi Pengajaran
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata kerajaan, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia terutama di Sabah tentang kepentingan meningkatkan persiapan menghadapi ancaman luar.
Sambil menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memandang ringan tentang keselamatan negara, beliau berkata, segala usaha akan dilakukan untuk memastikan pasukan keselamatan diberi latihan sebaik mungkin, dilengkapi peralatan lebih canggih dan sentiasa bersedia untuk menangani kejadian seperti itu.
"Saya rasa, kita telah menikmati suasana aman dan stabil yang begitu lama di Malaysia. Komunis meletak senjata pada 1989 dan sejak itu, kita dilimpahi suasana aman dan stabil dalam tempoh cukup panjang.
"Kejadian itu (serangan di Lahad Datu dan Semporna) merupakan ancaman luar dan kita perlu menanganinya.
Sekiranya kita membuat keputusan menambah perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan, janganlah rakyat mempertikaikannya pula.
"Mereka perlu melihatnya sebagai langkah untuk melindungi keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah kita," katanya pada program Conversation With The PM yang disiarkan melalui saluran TV3 malam tadi.
Kata Najib, kerajaan tidak akan berkompromi tentang keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia.
No comments:
Post a Comment