Tuesday, March 12, 2013

Mana Kebalnya? 54 Pengganas Sulu Ditembak Mati, 97 Lagi Ditahan

Pelajar Sekolah Kebangsaan Sahabat 4 Lahad Datu  mengaminkan doa pada perhimpunan pagi ketika sekolah mula dibuka hari ini selepas seminggu ditutup kerana Op Daulat dilancarkan terhadap penggganas Sulu.
Pada 5 Mac, pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan pengganas militan di Kampung Tanduo dan seminggu selepas Operasi Daulat, keadaan di Lahad Datu dan Semporna kembali seperti biasa.

Seramai 54 pengganas militan ditembak mati manakala 97 lagi ditahan kerana disyaki terbabit dengan pengganas militan, pasukan keselamatan yakin insiden pencerobohan di Lahad Datu akan berakhir.

Pasukan keselamatan turut menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Operasi Daulat.

Dengan bilangan pengganas militan yang terbunuh dalam Operasi Daulat membuktikan mereka sebenarnya tidak kebal, sepertimana yang diperkatakan.

"Ini terbukti apabila pasukan keselamatan menembak mati 54 orang daripada mereka," kata Penolong Ketua Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), ACP Ramli Mohammed Yusoff semalam.

Antara pakaian pengganas Sulu yang ditemui ditinggalkan di pangkal pokok kelapa sawit di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Beliau berkata, cerita mengenai kekebalan penceroboh Sulu itu menjadi percakapan ramai apabila tersebar di laman sosial gambar mereka yang terbunuh memakai tangkal dan kain berwarna kuning pada badan.

Ramli berkata, penggunaan tangkal itu mungkin untuk meyakinkan pengikut kumpulan berkenaan bahawa tindakan mereka kononnya adalah jihad.

Sejak melakukan pencerobohan pada 12 Februari lalu, mereka percaya dapat menawan sebahagian besar Pantai Timur Sabah selepas begitu yakin dengan ilmu dan tangkal yang tertulis ayat-ayat khurafat untuk membolehkan diri masing-masing tidak lut ditembusi peluru.

Namun, nasib tidak menyebelahi kebanyakan pengganas apabila mereka tetap mati di hujung senjata canggih pasukan keselamatan Malaysia.

Sebagai bukti, pasukan keselamatan yang memeriksa mayat dan peralatan yang dibawa pengganas menemui beberapa objek pelik seperti tangkal termasuk kain hijau tertulis ayat-ayat tertentu di kubu persembunyian kumpulan itu.

"Hakikatnya hanya ilmu pengetahuan yang mampu memberikan kita kepandaian dalam mempertahankan negara dan bukan ilmu tahyul yang menyempitkan akal kita," katanya.


Semalam, pasukan keselamatan semalam mengisytiharkan Kampung Tanduo yang ditawan puak pengganas Sulu sejak 12 Februari lalu sebagai kawasan selamat.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, pasukan keselamatan melalui Ops Daulat masih melakukan kawalan keselamatan di seluruh kampung itu.

Menurut beliau, lebih 50 penduduk yang dipindahkan ke penempatan sementara di Dewan Embara Budi, Dewan Fajar Harapan dan Dewan Cenderawasih akan dibenarkan pulang dalam tempoh terdekat.

"Operasi menggeledah dan mencari di kampung itu hampir tamat dan apabila semua proses selesai, penduduk yang tinggal di penempatan sementara akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," kata beliau pada sidang akhbar Lahad Datu semalam.

Berikutan itu, Hamza berkata, Ops Daulat kini memberi tumpuan untuk membersihkan Kampung Tanjung Batu dan Kampung Sungai Bilis di kawasan berkenaan.


Dilaporkan, dalam tempoh 24 jam lepas, tiada insiden berbalas tembak antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan itu di tiga kampung yang menjadi tumpuan operasi iaitu Kampung Tanduo, Tanjung Batu dan Sungai Bilis.

"Kami sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan keadaan dan yakin kami boleh mencapainya," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pada sidang akhbar pada 4.30 petang semalam.

Terdahulu, pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Ahmad Zaki Mokhtar pada 10.40 pagi berkaitan perkembangan semasa insiden Lahad Datu, Hamza mengumumkan Kampung Tanduo, kawasan pendaratan penceroboh militan sebulan lepas, kini bersih daripada kumpulan itu.

Sementara itu, lima sekolah di Lahad Datu dan 49 di Semporna dibuka semula semalam. Hanya tiga sekolah di kawasan zon merah masih ditutup.

Bagaimanapun, Hamza mengingatkan masyarakat agar tidak menghampiri kawasan operasi.

Ketua Forensik Bukit Aman, Asisten Superintendan Hussein Omar Khan (dua dari kiri) menunjukkan mayat-mayat pengganas yang dihantar ke Hospital Lahad Datu semalam.
Pasukan keselamatan kini dalam usaha mengeluarkan mayat penceroboh dari Kampung Tanjung Batu, dan sehingga petang ini, 22 mayat dikeluarkan dan 18 daripadanya dihantar ke Hospital Lahad Datu manakala empat lagi ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.

"Satu mayat itu macam rupa Komander Musa (ketua kumpulan penceroboh berpangkat jeneral)," kata Ketua Forensik Operasi Daulat ASP Hussien Omar Khan.

Mengulas dakwaan bahawa pasukan keselamatan menggunakan kekerasan terhadap masyarakat pendatang dari Sulu, Hamza menafikannya dan berkata penduduk kampung Tanjung Batu, Labian dan Sungai Bilis telah dipindahkan.

Sejak krisis pencerobohan, lapan anggota polis terkorban dalam serangan pengganas, iaitu dua di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam di Semporna pada 2 Mac

Bernama, Sinar Harian, mStar & Kosmo

No comments:

Post a Comment