Perpustakaan Awam Daerah Hulu Terengganu (PADHT) akan terus melangkah ke luar kotak, dengan mempelbagaikan bentuk pelaksanaan program sebagai usaha menjadikan perpustakaan bukan sekadar buku semata-mata tetapi merangkumi seluruh kehidupan.
Penolong Pegawai PADHT, Mohamad Zainal Mohd Hassan berkata, kelainan aktiviti yang akan diadakan dari semasa ke semasa juga diharap mampu menarik minat ahli, untuk membuat pinjaman pelbagai jenis buku dan bahan bacaan bagi menambahkan pengetahuan.
“Lazimnya, apabila disebut perpustakaan pasti ia akan berkait rapat dengan buku. Namun begitu, di dalam sebuah buku sebenarnya mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan yang sememangnya berkaitan dengan banyak perkara dalam kehidupan kita seharian.
“Melihat dari aspek ini, PADHT mengorak langkah menganjurkan program di luar kebiasaan.
"Walaupun secara kasarnya aktiviti diadakan mungkin tidak melibatkan buku, namun sebenarnya ia terkandung dalam buku yang sememangnya terdapat di perpustakaan," katanya.
Menurutnya, penganjuran Jom Sihat di Perpustakaan adalah langkah pertama PADHT ke arah itu dengan melibatkan aktiviti seperti senamrobik dan menu sihat.
"Kepentingan menjaga kesihatan pasti terdapat dalam buku dan PADHT terjemahkannya melalui pelaksanaan program.
“Sehubungan itu, dari semasa ke semasa kita akan rangka dan laksanakan pelbagai aktiviti bersesuaian sebagai terjemahan kandungan yang terdapat dalam buku atau bahan bacaan yang sememangnya merangkumi seluruh kehidupan kita seharian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad Zainal juga merancang menyediakan cenderamata kepada ahli yang membuat pinjaman terbanyak di perpustakaan tersebut sebagai penghargaan, sekali gus galakan kepada individu lain agar turut sama berbuat demikian.
Katanya, walaupun jumlah kedatangan pengunjung begitu menggalakkan, namun dari aspek membuat pinjaman buku dan bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan tersebut, ia masih belum mencapai tahap diharapkan.
SH Online
No comments:
Post a Comment