Friday, March 8, 2013

Pencerobohan - Sultan Johor Arah Solat Hajat Di Semua Masjid


Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengarahkan Jabatan Agama Islam Johor supaya mengadakan solat hajat di semua masjid di negeri ini bagi memohon pertolongan dan kurniaan daripada Allah S.W.T berhubung isu pencerobohan kumpulan pengganas di Sabah.

Sultan Ibrahim bertitah solat berkenaan perlu dilakukan selepas solat Jumaat esok dan selepas solat Maghrib setiap hari bagi memohon keselamatan anggota polis, tentera dan agensi keselamatan agar terus terpelihara.

Baginda juga berharap agar isu pencerobohan itu dapat diselesaikan dengan segera bagi mengembalikan ketenteraman hidup rakyat Sabah dan kedaulatan negara. "Beta juga berharap seluruh rakyat di negeri ini menunaikan solat hajat di rumah masing-masing.

Marilah kita bersama-sama berdoa supaya isu ini (pencerobohan) dapat diselesaikan dengan segera,” titah baginda kepada pemberita di Istana Pasir Pelangi, di Johor Bahru, semalam.

Sultan Ibrahim juga berharap, semua anggota keselamatan sentiasa berhati-hati dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang mencabar ketika ini dan yakin kesemua mereka juga mempunyai semangat juang yang tinggi.

Baginda turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga anggota polis yang terkorban di Lahad Datu dan Semporna dan berdoa semoga roh wira negara itu dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang beriman.

No comments:

Post a Comment