Tuesday, March 5, 2013

Pemimpin PAS Kian Tersepit - Khazan

Khazan Che Mat (enam dari kanan) menyerahkan replika cek tajaan kepada Abd. Hafiz Baharudin sambil diperhatikan oleh penduduk kampung sempena kempen 1Rumah 1Utusan di Kampung Kampung Darat Batu Rakit, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Pimpinan Pas kini dalam keadaan tersepit dan celaru apabila dasar transformasi kerajaan yang memberi tumpuan khusus terhadap aspek kebajikan rakyat secara menyeluruh diterima dengan begitu baik.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, pendekatan murni dalam memikul amanah dan tanggungjawab dengan menyebar luas hasil negara itu terpaksa 'diserang' dengan gambaran yang cukup buruk oleh pimpinan Pas agar kepentingan politik mereka tidak terus terhakis.

Katanya, segala transformasi di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilakukan setelah mengambil kira pandangan rakyat termasuk pembangkang, namun mereka terpaksa menafikannya.

"Apa salahnya berbaik sangka. Mereka ini yang memakai status ulama dan dikatakan tinggi pengetahuan agamanya, bertindak mencela pelbagai bentuk pemberian bantuan kepada rakyat dan menuduhnya sebagai pemberian makanan yang selayaknya untuk haiwan.

"Selain Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyamakan pemberian itu dengan apa yang pernah diberikan oleh Firaun bagi memperbodohkan rakyat.

"Namun Presiden Pas itu tidak pula menceritakan di Mesir, Nabi Yusuf yang mengetuai perbendaharaan negara turut mengagihkan khazanah negara untuk membela rakyat," katanya kepada pemberita pada majlis penajaan akhbar Utusan Malaysia di Kedai Kopi Zaid di Kampung Darat Batu Rakit, di sini  Mac lalu.

Katanya, ketika penghinaan dilemparkan oleh para pemimpin Pas, kalangan penyokong parti itu tetap menghargai pemberian Kerajaan Pusat dengan memberi contoh para pemimpin Pas dalam Parlimen Setiu turut hadir untuk menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sementara itu, menyentuh mengenai tajaan Utusan Malaysia, beliau berkata, pihaknya memperuntukkan RM6,000 bagi tujuan itu bagi membolehkan bekalan disalurkan secara percuma kepada masyarakat setempat selama sebulan.

Sebanyak 170 naskhah akan diedarkan setiap hari terutama di 36 buah kedai kopi yang menjadi tumpuan penduduk dalam kawasan khidmatnya agar waktu terluang ketika menjamu selera turut memberi kesempatan kepada mereka mengikuti laporan mengenai perkembangan semasa.

Naskhah tajaan awal itu diserahkan oleh Eksekutif Pemasaran Utusan, Abdul Hafiz Baharuddin kepada Khazan.

Khazan menyahut kempen 1Rumah 1Utusan sebagai suatu sokongan terhadap peranan akhbar arus perdana itu yang lantang dalam memperjuangkan agama nasib bangsa dan masa depan negara di samping merangsang ke arah membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment