Sebanyak RM7 juta telah diluluskan kerajaan bagi membantu kontraktor kelas F Kuala Terengganu untuk melaksanakan Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Asas (PIAS) bagi tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ‘Sistem Pengundian Berkomputer’ terpaksa diguna pakai bagi memberi keadilan kepada kontraktor yang memohon untuk mendapatkan projek-projek tersebut.
"Terdapat 221 projek yang ditawarkan manakala seramai 614 kontraktor telah mendaftar, justeru kita terpaksa mengunakan sistem ini untuk bersikap adil.
"Sesiapa yang mendapat projek tersebut berdasarkan nasib masing-masing dan tidak akan timbul soal pilih kasih,” ujarnya pada sidang media di Majlis Pengundian Projek PIA-PIAS Daerah Kuala Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.
Katanya, inisiatif ini dilaksanakan adalah sebagai usaha kerajaan untuk membantu kontraktor Bumiputera dan diharap mereka yang berjaya mendapatkan projek tersebut dapat menyiapkannya dengan sebaik mungkin dalam masa yang telah ditetapkan.
Tambah beliau, kontraktor juga seharusnya berusaha sendiri menyiapkan projek yang telah diperoleh dan tidak sepatutnya memberikan separuh daripada projek tersebut kepada pihak lain untuk disiapkan.
"Saya berharap kontraktor kelas F terutamanya belajar untuk buat sendiri dan berusaha untuk berjaya kerana keuntungan yang diperoleh hasil kerja sendiri lebih lumayan,” katanya.
No comments:
Post a Comment