Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Berang akan melabur hampir RM300,000 untuk menternak ikan dalam sangkar di Tasik Como, Tasik Kenyir tahun ini.
Pengurusnya, Rosman Abdul Rashid berkata, buat pertama kali tahun ini, PPK akan mengguna pakai 100 sangkar ikan Jabatan Perikanan di tasik berkenaan.
"Pelaburan itu untuk kita gunakan bagi membaik pulih sangkar yang ditinggalkan oleh Jabatan Perikanan itu serta membeli benih ikan dan makanan ikan," katanya.
Sebelum itu, beliau berkata PPK Kuala Berang telah pun memiliki 48 sangkar di Tasik Como yang telah beroperasi sejak 2010 lepas dengan pelaburan RM400,000.
Menurut Rosman, projek itu telah beberapa kali mengeluarkan hasil dan pada tahun lepas, ia mencatatkan hasil bernilai lebih RM50,000 daripada jualan ikan keli, patin, baung dan talapia.
"Kita jual runcit antara RM4.50 hingga RM9 sekg kepada peraih-peraih di sekitar Kuala Berang dan Pekan Ajil," katanya sambil menyatakan permintaan ikan darat sangat tinggi.
Beliau berkata salah satu langkah PPK Kuala Berang mengambil sangkar Jabatan Perikanan itu semata-mata untuk meningkatkan lagi pengeluaran ikan darat bagi memenuhi permintaan.
"Sasaran kita bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga pasaran luar seperti Gua Musang (Kelantan), Kuala Lipis (Pahang) Kuala Lumpur dan lain-lain bandar utama di negara ini," katanya.
Katanya PPK Kuala Berang akan menternak dua jenis ikan iaitu ikan baung dan ikan talapia, menggunakan sangkar Jabatan Perikanan, yang dijangka memberi hasil lebih RM300,000 setahun.
Menurut Rosman sangkar-sangkar itu akan dimasukkan anak ikan sebaik sahaja kerja-kerja membaik pulih siap pada Mei atau Jun ini.
Katanya pihaknya melihat ternakan ikan dalam sangkar mempunyai masa depan yang cerah berikutan penduduk negara ini telah beralih kepada ikan darat daripada ikan laut.
Beliau berkata PPK Kuala Berang juga mencebur diri dalam bidang ternakan kambing dan tanaman kelapa sawit dalam usaha mengukuhkan sumber kewangan pertubuhan itu.
No comments:
Post a Comment