Sunday, March 31, 2013

Skuad Pemantau - Cegah Kegiatan Penangkapan Ikan Haram Di Sungai Terengganu

Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) akan menubuhkan skuad pemantau sungai yang dianggotai penduduk kampung di sepanjang beberapa sungai utama seluruh negeri, bagi mengawal sebarang kegiatan penangkapan ikan secara haram.

Pengarahnya Abdul Khalil Abdul Karim berkata walaupun pihaknya tidak pernah menerima laporan mengenai perkara itu di Terengganu, namun skuad pemantau itu tetap akan ditubuhkan secepat mungkin bagi memastikan sungai di negeri itu bebas daripada sebarang pencemaran.

"Sehingga kini, jabatan mempunyai kira-kira 20 petugas yang sentiasa mengawasi aktiviti tangkapan ikan di sungai dan berharap kewujudan skuad pemantau itu nanti akan dapat menjadi 'mata dan telinga' kepada JPNT," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program pelepasan benih ikan dan udang galah di Sungai Yak Yah yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di Kemaman, kelmarin.

Mengenai progam pelepasan benih udang galah dan anak ikan itu, Abdul berkata kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi memastikan hidupan sungai itu tidak diancam kepupusan akibat kerakusan manusia.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Bahagian Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Malaysia, Ghulam Syawal Jan Mohamad.

Sebanyak 70,000 benih udang galah, 10,000 ikan lampam sungai, 3,000 ikan jelawat dan 3,000 ikan lampam kerai dilepaskan di sungai itu semalam.

Abdul Khalil berkata keberkesanan skuad pemantau sungai itu telah terbukti di Pahang dan Perak dalam menangani aktiviti penangkapan ikan yang tidak mengikut undang-undang seperti penggunaan racun, tuba atau bom buatan sendiri.

 "Di laut, kita ada skuad pemantau iaitu 'Rakan Fish' yang banyak memberi laporan terhadap aktiviti penangkapan ikan secara haram," katanya.

No comments:

Post a Comment