Sunday, March 31, 2013

Soal Calon Beres, Ahmad Said Yakin BN Terengganu Menang Besar


Soal calon Barisan Nasional (BN) Terengganu sudah diselesaikan selepas pertemuan dengan Pengerusi BN Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini.

Pengerusi BN Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata berikutan itu, soal calon bukan lagi menjadi halangan dan kebimbangan kepada parti untuk bertanding.

Berikutan itu BN negeri yakin menang besar apa lagi semua pihak kini berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Katanya, BN negeri
yakin parti itu mampu merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai pembangkang.

Ahmad Said berkata peletakan calon BN bagi pilihan raya kali ini, selain khidmat individu berkenaan yang tidak berbelah-bahagi kepada rakyat akan menzahirkan kemenangan besar kepada BN.

Beliau yang juga Meneri Besar berkata, BN Terengganu mempertaruhkan kombinasi calon lama dan baru yang disenangi rakyat segenap lapisan.

Ketika ini, dua kerusi Parlimen iaitu Marang dan Kuala Terengganu dikuasai pembangkang manakala lapan kerusi DUN di bawah pembangkang ialah Rhu Rendang, Batu Buruk, Bukit Payong, Bukit Tunggal, Sura, Wakaf Mempelam, Manir dan Ladang.

"Jentera parti kita sudah bersedia sepenuhnya di mana ia mula bergerak sejak tahun lalu. Perhubungan Umno negeri juga sudah bersedia di 342 pusat daerah mengundi (PDM) bagi menghadapi PRU-13.

"Kita yakin BN memperolehi kemenangan yang cemerlang kali ini. Soal calon, semuanya sudah beres selepas pertemuan dengan Presiden parti yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tanah peneroka Felda Kerteh 5 dekat Kemaman, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abdul Wahab.

Pada majlis itu seramai 208 Peneroka Felda Kerteh 5 menerima geran hak milik tanah masing-masing seluas empat hektar setiap seorang dengan keseluruhan tanah 796.90 hektar ladang sawit.

No comments:

Post a Comment