Thursday, April 18, 2013

Ada Bekas Wakil Rakyat BN Terengganu Bertanding Atas Tiket Bebas?


Benarkah akan ada bekas wakil rakyat negeri ini akan bertanding atas tiket parti Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini?

“Kita tengoklah pada hari penamaan calon pada Sabtu ini, apakah benar-benar ada ahli Umno yang akan jadi calon Bebas,” kata Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini.

Beliau mengulas desas desus kononnya beberapa Parlimen dan DUN bakal ditandingi calon Bebas terdiri daripada bekas wakil rakyat BN sebagai tanda protes calon BN yang diumumkan Rabu lalu.

Sejauh ini seorang bekas Ahli Parlimen dan tiga bekas ADUN sudah menyatakan akan menyokong calon BN. Mereka ialah Datuk Seri Dr Abdullah Mat Zin (bekas Ahli Parlimen Besut), Asha’ari Idris (bekas ADUN Langkap), Ramlan Ali (bekas ADUN Jabi) dan Zakaria Abdullah (bekas ADUN Paka).

Bekas ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid berkata beliau tidak akan patah semangat untuk terus bersama-sama memastikan kemenangan calon BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Bekas guru itu turut menepis tanggapan kemungkinan akan mengambil sikap 'menjauhkan diri' kerana tidak dicalonkan mempertahankan kerusi yang disandang selama tiga penggal berturut-turut.

Rosol tidak terkejut digugurkan kerana sudah menjangka namanya tiada dalam senarai calon BN Terengganu berdasarkan beberapa petanda awal.

"Sebelum ini, pihak media membuat ramalan saya bukan saja bertanding di kerusi DUN tapi Parlimen, semua itu spekulasi semata-mata," katanya.

Jadi siapa yang akan bertanding atas tiket Bebas?

Tidak mungkin Datuk Din Adam (Bukit Besi) , Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) , Khazan Che Mat (Batu Rakit), Ab Halim Jusoh (Permaisuri) atau Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang) sanggup berbuat demikian.

Apapun, hari ini BN Terengganu menganggap desas-desus itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi melemahkan jentera BN.

Bercakap kepada pemberita di majlis Seminar Keibubapaan Hala Tuju Pendidikan Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, hari ini, Ahmad Said berkata pihaknya akan memantau perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menteri Besar bagaimanapun memberi amaran kepada ahli-ahli Umno dan semua parti komponen BN agar tidak berpaling tadah dengan cara bertanding atas tiket parti Bebas pada PRU13 kerana mereka akan menghadapi tindakan tatatertib.

Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib, termasuk memecat keahlian mereka kerana perbuatan tersebut jelas melanggar arahan parti dan BN.

“Kalau memang benar terbukti ada ahli Umno yang menjadi calon bebas untuk bertanding di mana-mana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka akan dikenakan tindakan oleh parti.

“Saya tidak boleh buat apa jika mereka ambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas, itu hak mereka tapi sepatutnya sebagai seorang Islam mereka perlu terima qada dan qadar Allah dengan hati terbuka,” katanya.

Beliau turut berharap mereka yang digugurkan akan terus bekerja membantu jentera parti bagi memenangkan BN.

No comments:

Post a Comment