Saturday, April 20, 2013

Kemenangan BN Pemangkin Kuala Nerus Sebagai Daerah Baru


Usaha untuk menjadikan Kuala Nerus sebagai daerah baru di Terengganu akan tercapai sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kawasan Parlimen itu, 5 Mei nanti.

Calon BN Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata sekiranya BN diberikan mandat, pihaknya berjanji Kuala Nerus akan diisytihar sebagai dearah untuk memenuhi impian semua penduduk di kawasan itu.

"Sejak BN menggambil alih pemerintahan daripada Pas pada 2004, banyak pembangunan dan transformasi telah dilakukan di situ contohnya kawasan Perindustrian Gong Badak, ia menampakkan usaha serta janji kerajaan BN dapat dilaksanakan dan bukannya janji kosong," katanya semalam.

Beliau yang juga penyandang di kawasan itu berkata untuk merealisasikan impian tersebut, rakyat perlu menyokong BN dengan menterjemahkan sokongan itu dalam undian pada PRU-13.

Kuala Nerus merupakan satu daripada lapan kawasan Parlimen di Terengganu, ia di bawah pentadbiran daerah Kuala Terengganu terletak kira-kira sembilan kilometer dari pusat bandar.

Terengganu mempunyai tujuh daerah iaitu Hulu Terengganu, Besut, Setiu, Marang, Dungun, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Sementara itu ketika mengulas mengenai Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal yang dimenangi Pas pada pilihan raya lepas, Mohd Nasir berkata pihaknya yakin kawasan itu akan menjadi milik BN pada PRU13.

"Walaupun pada pilihan raya lepas, Dun Bukit Tunggal dimenangi calon Pas Alias Razak yang telah mengalahkan calon BN Tuan Arif Tuan Ahmad dengan majoriti 336 undi, namun dengan terbuktinya pembangunan dan tranformasi serta manifesto BN, saya yakin BN akan menang pada PRU13," katanya.

Pada PRU13 ini, BN meletakkan muka baharu di Dun Bukit Tunggal iaitu Ismail Nik dan mengekalkan muka lama di tiga Dun, iaitu Dun Tepuh (Muhammad Ramli Nuh), Dun Teluk Pasu (Datuk Abdul Rahin Mohd Said), Dun Seberang Takir (Datuk Ahmad Razif Abd Rahman).

Ketiga-tiga calon tersebut telah menang pada pilihan raya lepas iaitu Dun Tepuh dengan majoriti (430 undi), Teluk Pasu (462 undi) dan Seberang Takir (2,430 undi).

No comments:

Post a Comment