Tuesday, April 30, 2013

Kehidupan Cik Gu Zubir Berubah Seratus Peratus

Zubir (berdiri di tengah) beramah mesra dengan orang ramai semasa berkempen di Pasar Tani Jalan Hiliran, Kuala Terengganu semalam.
Mohd. Zubir Embong yang lebih dikenali sebagai Cikgu Zubir mahu terus dipanggil sebagai cikgu walaupun kini dia sudah meninggalkan kerjayanya sebagai pendidik untuk memasuki fasa baharu kehidupan.

Selaku calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, lelaki berusia 49 tahun yang merupakan seorang suami dan bapa kepada tiga orang puteri juga mahu menghambakan dirinya kepada rakyat.

"Saya mahu menjadi pemimpin yang berada di bawah tapak kaki tetapi bukan untuk dipijak sebaliknya untuk menopang mereka yang tidak berdaya untuk bergerak," katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu,  baru-baru ini.

Bekas Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu itu menjelaskan, bukan mudah untuk mengubah landskap kehidupannya namun beliau bertekad untuk melangkah lebih jauh.

"Kehidupan saya berubah seratus peratus, dari duduk di pejabat, saya kini perlu keluar bertemu orang ramai tidak kira masa dan dalam masa sama, saya juga kena jaga tutur kata dan penampilan diri.

"Walaupun agak berat, namun saya pikul tanggungjawab ini sebagai satu amanah," katanya yang turut menerapkan unsur kasih sayang dalam kepimpinannya.

Jelasnya, tidak kira dalam apa agama sekalipun unsur kasih sayang itu penting dan beliau tidak mahu adanya unsur saling benci membenci sesama manusia kerana ia akan mewujudkan satu masyarakat yang tidak sihat.

Mohd. Zubir bertanding menentang calon Pas, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan calon Bebas, Maimun Yusuf. Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu ialah Mohd. Abdul Wahid Endut dari Pas selepas memenangi pilihan raya kecil yang diadakan pada 17 Januari 2009 dengan majoriti 2,631 undi.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment