Tuesday, April 30, 2013

Perbezaan Pendirian Mengenai Hudud Bakal Memecah Belah Pakatan Pembangkang


Penganalisis politik berkata pertembungan terbuka antara pemimpin PAS dan DAP mengenai pelaksanaan hukum hudud tidak lebih daripada satu sandiwara politik bagi meraih sokongan untuk parti masing-masing.

Prof Dr Ahmad Atory Hussain, mengulas tindakan PAS menimbulkan semula isu hudud pada peringkat ini, menyifatkan parti itu kini berasa cemas dengan kemerosotan sokongan terhadap parti itu.

"Ini dipanggil "Game Theory" atau teori permainan yang dimainkan pemain-pemainnya iaitu PAS, PKR dan DAP untuk menarik sokongan ahli dan penyokong parti masing-masing," kata Pensyarah Politik dan Pentadbiran Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).

"Isu hudud ini memang intipati (perjuangan) PAS sebelum mereka bekerjasama dalam pakatan pembangkang tetapi ia telah diketepikan parti itu yang sebaliknya menaikkan isu negara kebajikan pula."

 Ahmad Atory berkata akibat terdesak untuk menarik sokongan pengundi Cina, pemimpin DAP menolak pelaksanaan hudud yang memang pun tiada dalam manifesto pakatan pembangkang dan juga dalam Buku Jingga mereka.

"Sebahagian orang Melayu tidak percaya pada PAS lagi, malah ada ahli PAS keluar parti gara-gara kecewa dengan janji PAS dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa mereka tidak akan melaksanakan hudud sekiranya menguasai Putrajaya," katanya.

Kelmarin,  Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menegaskan bahawa PAS akan melaksanakan hukum hudud sekiranya berjaya memenangi Putrajaya dan parti itu sanggup keluar dari pakatan pembangkang sekiranya ditentang DAP. Bekas naib presiden PAS Datuk Nakhaie Ahmad berkata PAS sememangnya tidak mahu melaksanakan hukum hudud sungguhpun mereka berpeluang berbuat demikian di negeri Kelantan.

"Kalau mereka serius hendak jalankan hukum hudud, mereka kena siapkan undang-undang yang lazim bagi pelaksanaan hukum hudud seperti prosedur jenayah Islam dan melantik para hakim yang layak untuk mengendalikan undang-undang itu. "Semua undang-undang ini bawah kuasa kerajaan negeri tapi mereka tak buat pun," katanya.

Ini menunjukkan PAS tidak serius untuk melaksanakan hukum hudud dan sekadar mahu menjaga hati anggota-anggota PAS semata-mata, katanya.

Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali menyifatkan pendirian Timbalan Mursyidul Am PAS itu bahawa parti itu mahu melaksanakan hudud sebagai tindakan drastik dan tegas yang perlu terus dikekalkan.

"Ramai mengatakan jika PAS mengambil keputusan ini, PAS akan menjadi parti pilihan rakyat dalam pilihan raya ini dan ia akan mengembalikan keyakinan ahli terhadap prinsip perjuangan parti," kata bekas Naib Presiden PAS itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Penganjur Nasional MCA Datuk Tee Siew Kiong berkata referendum yang dicadangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memutuskan mengenai bagaimana hukum hudud PAS perlu dilaksanakan, tidak munasabah.

"Setiap kali perkara mengenai hukum hudud PAS ditimbulkan, DAP akan berkata ia tidak boleh dilaksanakan tanpa kebenaran mereka tetapi sebaliknya, kita lihat mereka juga tidak dapat menghalang PAS daripada berkeras hukum hudud mereka dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan.

Tee, yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang berkata DAP semakin berlembut dalam membangkang agenda PAS itu.

Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini berkata persetujuan sebulat suara diperlukan sebelum hukum hudud PAS boleh dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment