Saturday, April 13, 2013

Khairul Mahu Tebus Kekecewaan Pada Kejohanan Piala Dunia 2013


Pemanah  negara yang hampir melakar kejutan pada Sukan Olimpik London 2012, Khairul Anuar Mohamad nekad untuk menjadikan Kejohanan Memanah Piala Dunia 2013 sebagai medan menebus kekecewaan.

Meskipun kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 19 Mei di Shanghai, China itu boleh dianggap sebagai aksi pemanas badan, Khairul Anuar mahu menjadikannya sebagai landasan pertama untuknya memperbaiki segala kelemahan yang ada.

"Dengan latihan intensif yang dilakukan selama ini, prestasi saya semakin meningkat. Meskipun masih bekerja keras untuk memperbaiki teknik panahan, pungutan mata yang dilakar masih di tahap terbaik.

"Untuk itu, saya optimis untuk menghadapi Kejohanan Piala Dunia tersebut meskipun berehat agak lama selepas Olimpik London lalu," jelasnya yang berjaya meraih pingat perak pada Piala Dunia 2011.

Pakar acara recurve itu bagaimanapun enggan menyasarkan warna pingat yang akan dibawa pulang nanti meskipun bertanding dalam acara individu dan berpasukan.

Bukan kerana tidak yakin untuk membawa pulang emas, namun juara Kejohanan Memanah Asia 2011 acara individu dan berpasukan itu menjelaskan dia mempunyai misi tersendiri untuk diselesaikan.

"Sasaran saya adalah acara individu, tetapi misi utama pada kejohanan tersebut ialah untuk menguji skil dan teknik. "Sekiranya momentum panahan saya konsisten dan bersih, saya rasa tiada masalah untuk melakukan pungutuan mata yang lebih baik," jelasnya yang enggan mengulangi kesilapan yang dilakukan pada Olimpik di London tahun lalu.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment