Ahmad Said pada sidang media selepas Mesyuarat Exco tengah hari tadi. |
Difaham, Ahmad Said akan menghadap Sultan Terengganu malam ini bagi tujuan itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu itu berkata pembubaran itu nanti adalah untuk memastikan pilihan raya negeri Terengganu dapat diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen dalam PRU-13.
"Parlimen telah dibubar sebentar tadi dan kita negeri Terengganu (DUN) akan mengikutilah pembubaran ini dalam masa terdekat kerana Yang Mulia Tuanku (Sultan Mizan) akan sampai (dari luar negara) di Terengganu malam ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, hari ini.
Tempoh akhir DUN Terengganu adalah pada 5 Mei depan. Terengganu mempunyai lapan kerusi parlimen dan 32 kerusi DUN.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen 11.30 pagi ini untuk membolehkan PRU-13 diadakan.
Ditanya tentang manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu, Ahmad berkata terdapat beberapa lagi tambahan khas untuk Terengganu yang akan dibuat dan digabungkan dengan Manifesto BN pusat.
Menurutnya pengumuman mengenainya akan dibuat selepas manifesto BN pusat dilancarkan nanti. Pada PRU-12 2008, BN menang dengan lebih dua pertiga majoriti kerusi dalam DUN Terengganu dan menguasai tujuh kerusi Parlimen manakala PAS hanya memenangi lapan kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen.
Bagaimanapun pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan 2009, PAS menang kerusi itu, menjadikan ia kini menguasai dua kerusi Parlimen manakala BN menguasai enam kerusi Parlimen.
Pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, BN menguasai negeri Terengganu, selepas negeri itu jatuh kepada PAS pada pilihan raya umum 1999.
No comments:
Post a Comment